SEJAK pikap menjadi trend pengguna sebagai satu gaya hidup dan bukan lagi untuk kegunaan ladang atau kontraktor, banyak syarikat automotif tampil dengan produk mereka.
Ada syarikat yang memang menghasilkan sendiri pikap mereka, namun ada juga yang menjalinkan kerjasama atau penjenamaan semula dengan syarikat lain.
Minggu ini penulis berpeluang untuk memandu uji pikap dari jenama Perancis, Peugeot yang diberi nama Landtrek.
Peugeot Landtrek ini dihasilkan daripada pembangunan bersama Changan Automobile dengan menggunakan platform Changan Kaicheng F70.
Panjang model ini 5,331 milimeter (mm), manakala lebarnya pula ialah 1,925mm, jarak antara roda 3,180mm dan tinggi 1,877mm.
Mungkin ada yang ingat ini merupakan model pikap pertama keluaran jenama itu, jawapannya tidak! Pada tahun 1939 sebenarnya Peugeot telah menghasilkan pikap dua pintu yang diberi nama 202.
Rekaan luaran model ini nampak segak dan masih mengikut identiti rekaan terbaharu Peugeot dengan lampu nyalaan siang jenis LED seakan bentuk taring.
Lampu utama menggunakan jenis LED, manakala lampu belakang pula jenis mentol.
Bahagian sisi pikap ini diperkemas dengan pemegang buka pintu jenis krom, pemijak kaki sisi (side step), rim bersaiz 18 inci dengan tayar 265/60.

Bagi penulis, rekaan pada bahagian luaran ini memberikan pikap ini imej yang tersendiri dan mampu untuk mendapat perhatian sekiranya hadir ke satu-satu tempat. Maklumlah di negara ini, jenama ini masih asing untuk sebuah pikap.
Masuk ke ruang dalaman, perkara pertama yang penulis rasakan ialah cita rasa premium kerana rekaan sebegini jarang kita dapat lihat untuk sebuah pikap.
Model ini hadir dengan reka bentuk yang teliti apabila memasukkan ciri-ciri yang terdapat pada model Peugeot yang lain.
Skrin sentuh bersaiz sepuluh inci juga dilengkapi dengan Apple Carplay dan Android Auto yang menawarkan sambungan lancar untuk disepadukan dengan telefon pintar anda.
Kamera 360 darjah yang ditawarkan juga amat membantu pemandu terutama di kawasan sempit atau berbukit.
Selain itu, ia juga hadir dengan penyaman udara dwizon automatik, serta butang kawalan dengan gaya piano untuk memudahkan akses kepada pelbagai fungsi pikap ini.
Dari segi keselesaan pula, tempat duduk pemandu dan penumpang depan model ini hadir dengan ciri-ciri kawalan elektrik, manakala tempat duduk belakang boleh direbahkan 60:40.
Bagi memudahkan untuk memasuki pikap dengan jarak kelegaan tanah 235mm ini juga, ia hadir dengan tujuh pemegang di ruang penumpang.

Peugeot Landtrek ini menggunakan enjin 1.9 turbo diesel dan transmisi enam kelajuan automatik. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 150hp dan tork tertinggi 350Nm.
Atas kertas, kelajuan maksimum pikap ini boleh mencapai 168 kilometer sejam (km/j). Saiz tangki dieselnya 80 liter.
Penulis percaya model ini boleh dikendalikan dalam semua jenis rupa bumi seperti jalan raya bandar, lebuh raya atau rupa bumi berbukit.
Malah, ketika pandu uji di trek offroad di Jkin Extreme Park, Seremban, penulis tidak berasakan kesulitan untuk mengendalikan pikap ini.
Penulis difahamkan, Peugeot Landtrek ini hadir dengan teknologi yang diperlukan untuk mengendalikan jalan kasar. Kunci pembezaan belakang mekanikalnya pula memberikan cengkaman tambahan apabila satu roda tergelincir.
Untuk menukar mod pacuan empat roda, pengguna hanya perlu memusingkan tombol pada konsol tengah.
Antara ciri-ciri keselamatan yang hadir bersama pikap ini seperti enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik (ESP) merangkumi Kawalan Penurunan Bantuan Bukit (HADC) yang memastikan kenderaan pada kelajuan
terkawal, sekali gus membolehkan pemandu menumpukan perhatian pada stereng.
Pemandu juga boleh bergantung pada Amaran Berlepas Lorong untuk memastikan kenderaan dipandu berada di lorongnya melalui isyarat boleh didengar dan visual.
















