fbpx
GAMBAR HIASAN

Tunai dulu manifesto PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kini sema­kin dirasai apabila parti-parti politik sedang memperkemaskan jentera serta berkempen sama ada di media sosial mahupun secara bersemuka.

Pelbagai manifesto juga telah dikemukakan serta diedar kepada pengundi yang bakal memilih wakil rakyat baharu bagi mewa­kili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menyentuh soal manifesto atau bahasa mudahnya janji, penulis tertarik untuk mengupas isu ini kerana banyak ‘janji’ yang ditaburkan sama ada semasa PRN, mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini rata-ratanya tidak ditunaikan.

Walaupun ada yang mengatakan manifesto bukan ‘kitab suci’, namun bagi kita masyarakat yang beradab, bila berjanji perlulah ditunaikan.

Ini kerana, sebagai manusia normal, kita akan sakit hati dan mungkin akan memutuskan hubungan apabila semua janji tidak ditunaikan, begitu juga pengundi.

Mereka mungkin akan ­‘menghukum’ wakil rakyat yang enggan menunaikan janji atau manifesto yang dibuat sebelum ini mahupun janji-janji yang pernah dibuat puluhan tahun dahulu.

Tambahan pula, rakyat kini semakin matang dan pandai menilai sama ada wakil rakyat yang bertanding nanti adalah mereka yang berfakta serta berasas dan bukannya auta atau hanya pandai tanam batu asas.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, rakyat ketika ini tidak mahu mendengar janji-janji yang tidak berupaya ditunaikan oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, ujar beliau, rakyat mahu tahu mengenai rancangan calon ataupun kerajaan sete­rusnya untuk mengatasi masalah lebih serius dihadapi ketika ini seperti kos sara hidup, inflasi ataupun mengenai bidang pendidikan.

“Calon-calon ini tidak sepatutnya menabur janji secara berlebihan semata-mata untuk menarik undi. Apa yang dikatakan haruslah bersifat realistik dan mampu ditunaikan,” ujarnya.

Pada masa sama, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Moha­med memberitahu, rakyat tidak berminat melihat pertelagahan antara parti yang bertanding pada pilihan raya.

Beliau berkata, perkara lebih mustahak bagi mereka adalah kerajaan yang ditubuhkan sele­pas hari pengundian itu kelak adalah stabil dan mampu menyelesaikan isu membelenggu rakyat.

“Rakyat mahukan pemimpin-pemimpin politik ini memberikan satu jalan penyelesaian sekali gus menjamin kestabilan negara serta pembangunan ekonomi lebih mampan.

“Banyak isu yang perlu diselesaikan antaranya berkenaan kos sara hidup serta pengangguran dalam kalangan rakyat. Pengundi mahu lihat isu-isu diselesaikan, bukan lihat pertelagahan antara parti,” katanya.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya, seramai 9,773,571 pemilih akan diberi kertas undi untuk memilih calon masing-masing.

Daripada jumlah itu, 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan serta 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada enam negeri ini, sebanyak 245 kerusi DUN akan diisi iaitu 36 kerusi Kedah, 45 kerusi Kelantan, 32 kerusi Terengganu, 40 kerusi Pulau Pinang, 56 kerusi Selangor dan 36 kerusi Negeri Sembilan.

Justeru nasihat penulis, pi­lihlah calon yang akan memberi manfaat kepada kita, bukan calon yang akan ‘lari’ selepas mereka mendapat jawatan dan pangkat.

Jangan kerana satu undi kita akan merosakkan masa depan anak cucu pada masa akan datang. Fikir sebelum memilih, ­jangan ikut pandangan orang tetapi nilailah dengan mata hati dan pengalaman lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN