fbpx

Pam tandas hempap murid, dicadang tukar jenis pam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD Arafat Varisai Mahamad (tengah) hadir ke SK Perpaduan untuk melihat sendiri pam tandas yang jatuh menimpa murid di sekolah berkenaan, di Ipoh, hari ini.

IPOH – Perbincangan akan dilakukan untuk menilai keperluan menukar semua pam tandas jenis seramik kepada plastik atau PVC, susulan kejadian pam tandas jatuh menghempap seorang murid di Sekolah Perpaduan (SK) Perpaduan, di sini.

Kejadian yang berlaku pada petang Selasa lalu telah menyebabkan murid darjah tiga di sekolah tersebut cedera dan bengkak di kepala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, perbincangan akan diadakan antara pihak berwajib termasuk pendidikan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, kejadian difahamkan berpunca akibat masalah berkaitan pendakap pam tandas itu sehingga terjatuh semasa murid menggunakan tandas.

“JKR maklum sekiranya pendakap sepenuhnya diikat, keadaan akan selamat. Pada masa sama kita akan bincang semula sama ada tukar kepada jenis plastik atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Susulan kejadian, tandas murid di sekolah itu ditutup sementara dan semua murid dibenarkan menggunakan tandas guru.

Tambah Muhamad Arafat, pelbagai bantuan akan diberikan kepada murid tersebut termasuk kaunseling bagi mengatasi perasaan trauma.

Beliau juga berkata, perkara tersebut turut dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan hal berkenaan dipandang berat oleh menteri.

Sementara itu, ibu kepada murid berkenaan, Nor Azizawati Binti Ismail, 37, melahirkan rasa lega kerana kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kritikal setelah mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya terima panggilan daripada sekolah pada petang tersebut. Saya terkejut dan mengharapkan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya yang juga seorang suri rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI