SELAMA ini, dia menggunakan kanvas untuk melakar kreativiti ilhamnya bagi setiap lukisan yang ingin dihasilkan.
Namun, selepas mempelajari seni pembuatan kertas, wanita itu kemudian memanfaatkan ilmu tersebut untuk berkarya di atas kertas buatan sendiri.
Wanita asal Pulau Pinang itu bukan sekadar menghasilkan kertas menggunakan sumber serat seperti nanas mahupun batang pokok pisang tetapi dia juga menggunakan satu tumbuhan yang jarang digunakan iaitu pokok kertau atau mulberi.
Menurut pelukis dan guru seni, Cheng Yen Pheng, 41, dia mula tertarik dengan pembuatan kertas selepas menghadiri bengkel di Chiang Mai, Thailand semasa lawatan ke sana pada tahun 2017.
“Saya ada menanam pokok mulberi di rumah, namun tidak menyangka boleh digunakan untuk membuat kertas, sehingga saya belajar cara menghasilkannya.
“Membuat kertas menggunakan pokok mulberi merupakan antara seni yang sudah lama wujud dan juga merupakan sebahagian dalam sejarah pembuatan kertas,” katanya yang kini menetap di Batu Arang, Selangor kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya yang meminati bidang seni kreatif sejak kecil, sehingga kini dia lebih suka melukis menggunakan kertas daripada pohon mulberi yang dihasilkannya sendiri kerana lebih efektif dari segi kos berbanding kanvas.
Pohon mulberi yang juga dikenali sebagai ‘mulberi kertas’ ialah spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga Moraceae.
Ia berasal dari Asia dan mudah ditemui di negara seperti Taiwan, China, Jepun, Korea, India dan negara-negara Asia Tenggara.
Kertas mulberi turut digunakan orang zaman dahulu dalam membuat kain.
Pelbagai kajian genetik telah mengesan asal usul populasi mulberi kertas di ‘Pasifik Terpencil’ sehingga ke Taiwan melalui New Guinea dan Sulawesi.
Perkembangan tamadun telah menemui cara baharu untuk memanfaatkan pohon mulberi dengan menggunakannya dalam pembuatan kertas.
Kertas mulberi ialah sejenis kertas buatan tangan dan mempunyai gentian panjang yang membantu memberikan kemasan tersendiri pada kertas itu.
Gentian ini juga memberikan kertas mulberi kelebihan iaitu halus apabila ia koyak dan ini menjadikan kemasan yang sangat menarik.
Kertas mulberi biasanya bertekstur dan setiap kertas yang dihasilkan mempunyai ciri yang berbeza kerana sifat seratnya.

Kertas mulberi sesuai untuk projek seni. Walaupun permukaan bertekstur, kertas mulberi boleh memberikan latar belakang yang indah untuk projek berlapis.
Oleh kerana kertas mulberi adalah buatan tangan, helaian selalunya mempunyai tepi dek. Ia merupakan tepi kasar yang terbentuk semasa proses pembuatan kertas.
Kertas mulberi juga boleh digunakan untuk kad buatan tangan dan juga menjadi penambahan yang menarik pada projek buku skrap.
Seperti Yen Pheng, dia juga menggunakan kertas mulberi untuk membuat karya seninya dan kertas tersebut dibuat sendiri sebagai usahanya untuk memberikan kelainan serta melestarikan alam sekitar.
Berkongsi cara membuat kertas mulberi, ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, langkah pertama ialah dia akan memotong dahan mulberi dan mengupas kulitnya.
“Kemudian saya akan kukus kulit itu kira-kira 20 minit dan seterusnya mengupas bahagian luarnya.
“Selepas itu, kulit mulberi perlu dijemur sekurang-kurangnya sehari sehingga kering dan selepas itu bermulalah proses penyediaan gentian mulberi,” ujarnya.
Tambahnya, untuk penyediaan gentian mulberi kertas, kulit bahagian dalam tadi terlebih dahulu direndam dalam air selama 24 jam. Kemudian, gentian dirawat dengan natrium hidroksida pada kepekatan 5 hingga 10 peratus selama satu hingga tiga jam.
Kongsinya lagi, ia kemudian perlu direbus untuk melembutkan serat sebelum ditumbuk menjadi pulpa.
“Apabila serat kelihatan sudah hilang, potong dalam cebisan kecil, lalu kisar sehingga kelihatan seperti kapas.
“Selepas itu, uli bahan tadi sehingga menjadi bola, satu bola sama dengan satu helaian kertas dan saiz yang lebih besar menjadikan kertas lebih tebal,” jelasnya.
Untuk membentuk kertas, bola tadi kemudian dilarutkan di atas bingkai dengan silkscreen yang direndam di dalam air. Bingkai yang menapis air dari pulpa akan membentuk kepingan kertas yang seterusnya dijemur di bawah sinar matahari hingga kering.
Kongsi Yen Pheng lagi, meskipun proses pembuatan kertas dilihat renyah, namun hal itu memberi kepuasan kepada dirinya. Seni itu juga memberinya ketenangan dan pada masa sama dapat meluangkan masa dengan anaknya menerusi pembuatan kertas bersama-sama.
“Anak saya juga sering membantu buat kertas bersama-sama, malah saya juga berkongsi ilmu ini dengan orang ramai yang berminat mempelajarinya. Setakat ini, saya hasilkan kertas untuk kegunaan sendiri dan tidak menjualnya. Ini kerana proses pembuatannya saja sudah memakan masa dan saya juga perlu hasilkan karya seni yang menjadi sumber pendapatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, dalam konteks melestarikan alam sekitar, Yen Pheng memberitahu, membuat kertas mulberi dilihat sebagai salah satu cara yang menyumbang ke arah itu kerana ia tidak mengancam alam sekitar.
Ini berikutan, pohon mulberi itu sendiri mudah ditanam dan hidup, tidak seperti pohon balak yang memakan masa yang lebih lama.
“Kertas atau kanvas biasa dihasikan daripada aktiviti pembalakan yang mengancam alam sekitar. Walaupun ada opsyen kitar semula, menggunakan pokok mulberi juga boleh dijadikan pilihan dalam penghasilan kertas.
“Selain itu, cara ini juga dapat menjimatkan kos kerana harga kanvas jauh lebih mahal, manakala pokok mulberi boleh ditaman di halaman rumah,” ujarnya.














