fbpx

Tubuh pasukan khas perhalusi cadangan akta 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina (tengah) pada program Townhall UMNO Kota Raja di Klang, malam tadi.

KLANG – Satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) di negara ini.

Langkah itu bertujuan menangani pihak yang sengaja mencetuskan provokasi melampau dan kebencian rakyat mengenai isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Tegas beliau, pihak berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional.

“Jika kita lihat contoh negara lain, ia tidak hanya memfokuskan aspek jenayah tetapi juga penekanan mengenai kaunseling dan pendidikan. Memang ia di bawah Kementerian Perpaduan, namun saya hanya melihat kepada aspek undang-undang.

“Jadi, menerusi pasukan khas itu, kita akan membincangkan kepada Kabinet dari segi pandangan sama ada undang-undang sudah mencukupi atau perlu akta baharu yang perlu dikaji,” katanya ketika ditemui pada program Townhall UMNO Kota Raja di Royal Mustika Ballroom di sini, malam tadi.

Minggu lalu, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil.

Akta yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa itu mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan mengenainya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.

Ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.

Jelas Azalina, dakwaan pihak bahawa kerajaan zalim tidak betul kerana undang-undang baharu perlu menunggu sidang Parlimen pada Oktober depan.

“Selain itu, ia memerlukan sesi libat urus dan akan ada wakil Parlimen untuk membahasnya. Kita di Malaysia kena ikut amalan demokrasi dan perlu melakukan undi dahulu. Saya pelik kenapa tiba-tiba menuduh kerajaan menggunakan pendekatan kuku besi pula. Mahu bagi komen perlu tunggu dulu undang-undang itu dirangka untuk diberi penilaian,” ujarnya.

Tambah beliau, cadangan itu kini masih di peringkat perbincangan dan pihaknya mahu mendengar pandangan daripada semua pihak terlibat.

“Kita boleh bercakap apa-apa dan kebebasan bersuara tetapi jangan berniat sehingga menimbulkan provokasi dan kebencian. Negara ini masih mempunyai peruntukan undang-undang jenayah seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI