fbpx

Thailand terus-menerus libas Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Impian skuad sepak takraw negara untuk menamatkan penantian 35 tahun untuk bergelar juara pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai terus berlanjutan selepas tewas 0-2 kepada Thailand hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand, skuad negara Gajah Perang itu terus membuktikan mereka masih sukar untuk ditumbangkan selepas terus melakar kemenangan dalam acara regu berpasukan ke atas Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia yang dibarisi regu pertama, Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Mohd. Muqlis Borhan cuba menjinakkan Thailand, namun usaha tersebut tidak dapat mengatasi kekuatan Thailand.

Biarpun cuba mencetuskan kebangkitan di set kedua, namun Thailand yang diperkuatkan menerusi Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Wichan Temkort terus mendominasi permainan, sekali gus melakar kemenangan 21-18, 21-9.

Pada perlawanan kedua, Malaysia cuba mengatur rentak selepas membawa masuk regu negara yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Farhan Adam.

Thailand yang menurunkan Siriwat Sakha, Warayut Chatarasena dan Pattarapong Yupadee membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri selepas menundukkan wakil negara dengan meraih kemenangan 14-21, 14-21.

Hasil keputusan tersebut, Malaysia pulang dengan pingat perak selepas kali terakhir berada di pentas final pada 2018. Semalam, Malaysia melangkah ke pentas final selepas menundukkan Myanmar 2-0.

Sebelum itu, Malaysia juga tewas di tangan Thailand 0-2 di pentas final antara regu selepas menundukkan India 21-19, 21-13 di separuh akhir.

Untuk rekod, kali terakhir skuad sepak takraw negara bergelar juara berpasukan pada tahun 1988 dan kali terakhir melangkah ke final ialah pada 2018 namun, tewas di tangan tuan rumah 0-2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI