fbpx

Usah bertolak ansur perkara gugat keamanan negara – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada program Malaysia Madani bersama warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna, Batalion 2, PGA Kulim, hari ini.

ALOR SETAR – Pihak berkuasa diingatkan supaya tidak bertolak ansur sama sekali terhadap apa juga unsur yang menggugat keamanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merangkumi perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, ia seperti kedaulatan negara dan kemuliaan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan yang menjadi tonggak keamanan negara.

“Bagi menjaga keamanan, prinsip-prinsip itu tak boleh dipertikai dengan jaminan untuk tidak menindas kaum mahupun agama lain. Kita jamin untuk memberi pengiktirafan serta hak kepada semua warganegara tetapi jangan diizinkan perkara-perkara tersebut dipertikai kerana itulah rahsia terbesar bagaimana Malaysia kekal aman dan dipercayai.

“Saya tanya dua orang minggu ini iaitu pertamanya orang paling kaya di dunia, Elon Musk serta kedua Richard Lim yang merupakan antara peniaga terkaya di Hong Kong mengapa mereka mahu datang melabur di Malaysia?

“Mereka kata kerana negara ini mengagumkan dan aman. Siapa yang boleh ‘claim’ kredit daripada perkara itu, bukan saya tetapi PDRM dan agensi keselamatan yang mempertahankan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Malaysia Madani Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna Batalion 2, PGA Kulim di sini, hari ini.

Perdana Menteri menambah, keamanan negara adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

“Orang nak lawan daripada segi parti, kritik Perdana Menteri atau kritik kerajaan dalam konteks perundangan silakan tetapi kalau langgar prinsip Perlembagaan, soal negara perlu lebih penting daripada mana-mana individu.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menjalankan tugas-tugas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI