fbpx

21,000 responden terlibat ‘survey’ penyakit tidak berjangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha beramah mesra bersama hadirin pada Majlis Pelancaran NHMS 2023 Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan di Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KAJANG – Hampir 6,000 kediaman melibatkan 21,000 responden akan ditemu bual menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Morbiditi 2023 (NHMS 2023): Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan dijalankan selama tiga bulan.

Tinjauan itu dilaksanakan 36 pasukan pengumpul data Institut Kesihatan Umum (IKU) di semua negeri dan Wilayah Persekutuan serta dipilih secara rawak oleh Jabatan Perangkaan dengan temu bual bermula 11 Julai lalu hingga 30 September ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, data NHMS pada tahun ini amat diperlukan bagi memantau pencapaian indikator tersebut, di samping mengetahui trend penyakit tidak berjangkit (NCD) dan permintaan jagaan kesihatan di Malaysia.

“Data yang dipetik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan NCD membunuh 41 juta orang setiap tahun, iaitu kira-kira 71 peratus daripada jumlah kematian di peringkat global.

“Bebanan penyakit disebabkan NCD ini meningkat dengan pantas dan memberi kesan signifikan kepada aspek sosial, ekonomi dan kesihatan, terutama di negara-negara yang sedang membangun,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran NHMS 2023 Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Antara penyakit NCD ialah penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung.

Beliau berkata, NCD menyumbang sebanyak 72 peratus kematian pramatang dan hampir 76 peratus beban penyakit Malaysia pada tahun 2017.

“Data NHMS 2019 menunjukkan 18.3 peratus ataupun 3.9 juta populasi dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di Malaysia menghidap diabetes. Di samping itu, 30.0 peratus atau 6.4 juta orang menghidap penyakit tekanan darah tinggi manakala 38.1 peratus atau 8.1 juta orang mempunyai masalah kolesterol tinggi.

“Selain itu, data NHMS 2019 kita juga menunjukkan lebih 80 peratus daripada mereka yang menghidap penyakit NCD ini mendapatkan rawatan mereka di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau berkata, beban penyakit NCD terhadap ekonomi negara juga amat tinggi, manakala aggaran kos beban penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di
Malaysia adalah antara RM 100.8 bilion hingga RM 302.4 bilion, bersamaan 7.4 peratus hingga 22.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017.

Sementara itu, kata Dr. Zaliha, kepentingan tinjauan NHMS 2023 membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah baik polisi dan strategi kesihatan bagi membentuk masa depan yang lebih sihat untuk semua rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI