fbpx

Tidak menyesal pilih STPM, rekod PNGK 4.00

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA pelajar cemerlang STPM yang mendapat semua A dalam matapelajaran dari kiri, Lim Meng Han, Amir Haziq Miswan dan Louis Low menunjukkan angka 4 selepas mengambil keputusan peperiksaan mereka di SMK Sultan Ismail (SSI), Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Tiga rakan membuktikan keputusan memilih laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi sebagai langkah tepat apabila sama-sama mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Amir Haziq Miswan, Lim Meng Han dan Louis Low, yang masing-masing berusia 20 tahun merupakan rakan sekelas dan sering mengulangkaji pelajaran bersama-sama, khususnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Menurut Amir Haziq, dia tidak menyesal memilih laluan STPM yang dilihat kurang menarik jika dibandingkan dengan pengajian peringkat diploma.

“Bagi saya, STPM memberikan banyak kelebihan kerana hanya perlu fokus kepada subjek-subjek yang saya minat, selain tempoh pengajian yang lebih pendek jika dibandingkan dengan diploma.

“Jika memasuki peringkat diploma, mungkin akan ada banyak jurusan tambahan yang perlu diambil dan kurang sesuai dengan minat saya, disebabkan itu saya memilikinya STPM,” katanya kepada pemberita.

Tambah Amir Haziq yang menetap di Sungai Mas, Kota Tinggi itu lagi, pengorbanan yang dibuat untuk berulang alik setiap hari dari Kota Tinggi ke Johor Bahru berbaloi selepas mendapat keputusan cemerlang berkenaan, hari ini.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan pertolongan guru, rakan dan ibu bapa, saya dapat capai keputusan ini. Hubungan antara guru-guru dan pelajar yang akrab juga turut membantu kejayaan ini,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang ekonomi.

Sementara itu, rakannya, Louis Low, pula memberitahu, persaingan antara rakan-rakan sekelas turut membangkitkan semangat dalam dirinya untuk melakar keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM.

“Memang kami beri tumpuan penuh ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, selain itu kami juga turut mengadakan sesi ulang kaji sama ada secara sendiri ataupun dengan rakan-rakan.

“Saya yakin usaha keras diberi lebih lagi pada minggu-minggu akhir sebelum peperiksaan bermula membantu kami mencapai kejayaan ini,” katanya yang mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang perundangan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI