fbpx

Kementerian Ekonomi, KSM rangka dasar naikkan gaji rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi

PETALING JAYA – Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang merangka beberapa dasar pilihan bagi membincangkan strategi terbaik untuk meningkatkan gaji rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam tempoh terdekat.

Selain itu, kata Rafizi, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja untuk mendapatkan pandangan semua pihak.

“Butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputuskan berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta.

“Ia termasuk pelaksanaan secara berperingkat serta persetujuan tiga pihak antara kerajaan, majikan, dan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, jumlah gaji yang tidak setara dengan kos hidup merupakan penghalang utama kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Menurutnya, kebergantungan pekerja berkemahiran rendah adalah salah satu punca mengakibatkan gaji tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja di negara ini.

“Nisbah gaji pekerja (CE) Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 adalah 35.9 peratus jauh lebih rendah daripada negara-negara maju lain.

“Kadar gaji penengah benar dan gaji kemasukan baru juga merosot selepas pandemik dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik,” ujarnya.

Tambahnya, pertumbuhan gaji merupakan antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran CE negara, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI