fbpx

Kerajaan kaji, rangka dasar banteras aktiviti Ali Baba – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan yang bersesuaian bagi membanteras aktiviti ‘Ali Baba’ (rent-seeking) dan membentangkan cadangan itu kepada jemaah menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam telah mempersetujui secara prinsip bahawa budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.

Katanya, anggaran kerugian akibat budaya Ali Baba mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran.

“Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan agensi kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti ‘rent-seeking’ dan membentangkan cadangan kepada jemaah menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, berhubung inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju bagi mempercepat inisiatif berkenaan sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

“Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

“Fasa pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

“Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai ini dan disusuli oleh peluncuran NETR fasa kedua pada Ogos depan,” ujarnya.

Jelasnya, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI