fbpx

Jangan kempen jatuhkan maruah, fitnah ketika PRN – Aaron Ago

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron Ago (dua kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Ini Warisan Kita di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menasihati semua pihak termasuk penyokong parti politik dan anggota masyarakat supaya menghindari kempen yang boleh membawa kepada unsur perpecahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspek berkenaan perlu dititikberatkan terutamanya semasa musim kempen yang akan berlangsung selama dua minggu.

“DUN (Dewan Undangan Negeri) sudah pun dibubar dan tarikh pencalonan dan PRN dah diketahui semua, ini adalah masanya untuk parti-parti yang akan bertanding.

“Saya sebagai Menteri Perpaduan berharap ketika PRN (nanti), dari segi perpaduan kita harus teguhkan, tak boleh lah kita berkempen untuk jatuhkan maruah atau pun memfitnah sesuatu yang akan membawa kepada perpecahan (kaum) dan perpecahan dalam perpaduan, ini sangat penting.

“Bagi kita di kementerian, ini yang kita jaga dan kita pesan kepada semua (supaya menjaga sensitiviti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ini Warisan Kita, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program, beliau berkata, objektif utama penganjuran adalah bagi melestarikan perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai khazanah warisan negara.

Jelasnya, program yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu itu menyasarkan kehadiran orang awam dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang bagi mempelajari dan menghayati sendiri kepelbagaian warisan yang dibawakan khas kepada pengunjung.

“Program yang bertemakan ‘Melestarikan Perpaduan’ ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia Madani yang menerapkan elemen hormat-menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selain persembahan kebudayaan berunsurkan silang budaya, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat pameran rumah etnik seperti Chetti, Baba Nyonya, Mah Meri, Siam dan Portugis yang menampilkan pengisian seni tari, busana, kraf tangan serta makanan tradisi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI