fbpx

Beli minyak peket di luar bandar kena catu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MINYAK masak peket diletakkan di kaunter bayaran di sebuah kedai runcit di kawasan luar bandar di Padang Besar semalam.

PADANG BESAR – Beberapa peruncit mengehadkan penjualan minyak masak peket bersubsidi terutama di kawasan luar bandar hanya kepada satu hingga dua peket sahaja kepada seorang pelanggan.

Menurut seorang peruncit yang hanya dikenali sebagai Rusdi, 40-an berkata, catuan itu dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja bagi mengelakkan bekalan di kedainya terputus sementara mendapat bekalan baharu.

“Tindakan mengehadkan pembelian diambil bagi memastikan pengguna tidak terputus langsung bekalan dan barangan itu sentiasa ada terutama di sekitar kawasan ini.

“Sebagai pengusaha kedai runcit kecil ini, saya sebenar­nya menerima tekanan untuk menjual minyak masak bersubsidi ini kerana perlu membayar sehingga RM1,500 bagi mendapatkan bekalan 10 hingga 20 kilogram minyak peket.

“Ini syarat ditentukan oleh pemborong. Maksudnya, saya perlu membeli pelbagai bara­ngan lain seperti, tepung, gula, air mineral dan lain-lain lagi untuk satu pesanan bagi mendapatkan bekalan minyak masak,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Dakwanya lagi, kaedah ini ‘diwarisi’ daripada pengilang yang mempunyai lesen membekalkan minyak masak yang pada masa sama mempunyai lesen membekal pelbagai barangan asas lain menekan pemborong dengan menggunakan konsep perniagaan seperti itu.

Tambahnya, keadaan itu menekan pekedai khususnya peruncit kecil-kecilan yang terpaksa mengambil sedikit masa mengutip modal pusingan mendapatkan barangan keperluan itu sehingga menyebabkan catuan terpaksa dilakukan kepada pengguna sebelum bekalan baru sampai.

Sementara itu di Arau, seorang lagi peruncit, Ah Tian, 60-an berkata, kebanyakan kedai terutama di kawasan luar bandar memang akan mengehadkan penjualan minyak masak peket pada masa tertentu.

“Keadaan ini disebabkan ada kedai yang menerima bekalan pada awal bulan dan ada yang menerima bekalan pertengahan bulan.

“Sepanjang tempoh sebulan itu, ada kalanya bekalan tinggal sedikit dan perlu dikawal bagi memastikan pelanggan tidak hampa kerana gagal mendapatkan bekalan minyak masak,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, se­kiranya sesebuah kedai di Arau kehabisan bekalan mi­nyak masak, masih ada kedai lain yang masih mempunyai stok walaupun pengguna hanya dapat membeli dalam satu hingga dua peket sahaja.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kedai borong dan runcit di sekitar Kangar pula mendapati masih terdapat premis yang menjual minyak masak tanpa mengehadkan bilangan peket yang dibeli pengguna.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI