fbpx

Operasi SAR kanak-kanak jatuh sungai diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi SAR kanak-kanak hilang di Sungai Batang Kali diperluas hari ini.

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di Sungai Desa Alam Ria, di sini diperluaskan sejauh 20 kilometer (km) sepanjang Sungai Rasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 34 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), 26 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk 32 orang daripada agensi lain-lain.

“Operasi ini telah dimulakan pada Rabu lalu dan diperluaskan pada hari keempat. Ia turut menggunakan bot, Unit K9 serta penglibatan satu unit dron PDRM.

“Kerja-kerja mengesan dan menyelamat mangsa meliputi radius pencarian sejauh 20 kilometer sepanjang Sungai Rasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, operasi SAR itu yang dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dibahagikan kepada dua sektor.

Katanya, ia melibatkan enam buah bot yang dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor, Unit K9 JBPM bersama anjing Blake dan Pop.

“Misi pencarian dilaksanakan dengan kaedah ‘Water Surface Searching’ iaitu menyusur kiri dan kanan sungai bermula dari hulu ke hilir,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Kali, berhampiran Desa Alam Ria, di sini pada 5 Julai lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 7.15 malam dan mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Ammar Akhtar Tajul Azwa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI