GEORGE TOWN – Isu kekurangan dan ketiadaan bekalan minyak masak peket terus membelenggu pengguna di negeri ini berikutan barangan itu sukar didapati sama ada di kedai runcit atau pasar mini.
Tinjauan Kosmo! sejak Isnin lalu mendapati, masalah itu berlaku di premis peruncitan yang terletak di kawasan kepadatan penduduk membabitkan sebahagian daerah di pusat bandar dan Seberang Perai.
Difahamkan, ada peniaga yang membeli minyak masak peket 1 kilogram (kg) pada harga tinggi iaitu RM3.20 daripada pemborong dan menjualnya kepada pelanggan pada harga RM3.30 sepeket.
Bagaimanapun, tiada paksaan dibuat ke atas orang ramai, malah mereka diminta supaya membuat pilihan dan perbandingan harga di premis lain.
Di Barat Daya, seorang peniaga dikenali sebagai Isaac berkata, premisnya terputus bekalan minyak peket sejak tiga minggu lalu.
“Setiap hari pelanggan datang bertanya. Jika ada, kami akan hadkan satu atau dua peket seorang,” katanya ketika ditemui.
Di Bukit Mertajam, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya mendapati, ada premis yang terputus barangan kawalan itu sejak beberapa hari lalu selain mengehadkan pembelian berikutan bekalan yang diterima dalam jumlah sedikit.
Di sesetengah premis pula, bekalan minyak masak peket diterima pada hari tertentu sahaja dan habis dalam masa singkat.

Seorang pekerja pasar raya, Nur Majidah Abdul Hamid, 33, memberitahu, bekalan minyak masak peket di premisnya diterima seminggu sekali iaitu pada Rabu atau Khamis.
“Biasanya lapan kotak atau 100 hingga 140 peket minyak masak peket akan dihantar ke sini. Jumlah itu mampu bertahan dua atau tiga hari sahaja. Buat masa ini, kami belum mengehadkan jumlah pembelian, tetapi berpada-padalah membeli.
“Jika berkemampuan, belilah minyak masak botol, beri peluang kepada orang susah untuk membeli minyak masak peket (bersubsidi),” katanya.
Di Seberang Perai Utara, tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati masalah sama berlaku apabila bekalan minyak masak peket habis sejak pagi lagi, manakala botol 5 kg juga berkurangan.
Seorang pelanggan, Hafizi Mat Hasan, 29, memberitahu, dia terpaksa pergi lebih daripada sebuah kedai untuk mendapatkan minyak masak peket.
“Hendak mendapatkan minyak masak peket lebih sukar daripada mencari gula ketika ini. Saya harap masalah ini dapat diatasi dengan kadar segera,” katanya.
Seorang lagi pengguna dari Tasek Gelugor, Mohd. Hafiz Mat Shariff, 37, memberitahu, disebabkan bekalan minyak masak kerap kehabisan, dia terpaksa membeli minyak masak peket di pasar raya besar yang agak jauh dari kediamannya.
Di Butterworth, kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket di daerah itu memberi kesan terutama kepada peniaga kecil, Bebe Nur Aqeela Mohamad Yunus Khan, 30.
“Disebabkan kami beli secara borong, ada sesetengah pemborong menetapkan jumlah pembelian.
“Adakalanya kami terpaksa beli barangan sehingga RM1,600 untuk mendapatkan sebanyak 17 peket minyak masak.
“Adakah kami perlu borong barang lebih RM1,000 baru boleh beli minyak masak? Kalau beli minyak dalam botol memang ‘lari’ bajet,” ujarnya.














