fbpx

Thomas, John dalang curi kereta sekitar Lembah Klang diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno menunjukkan gambar Thomas (kiri) John (kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis memburu dalang sindiket curi kenderaan yang dikenali sebagai Thomas, 29 tahun dan John, 35 tahun selepas kegiatan mereka tumpas dalam satu serbuan, 28 Jun lalu.

Dua suspek tersebut diburu selepas enam lelaki berusia antara 30 hingga 56 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dipercayai terlibat sindiket sama dipercayai menjual kenderaan curi menerusi laman sesawang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, dua suspek tersebut masih bebas selepas disyaki melarikan dua buah kenderaan jenis Toyota Vellfire, sebuah kereta BMW dan sebuah kereta Honda sejak tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak.

Kata beliau, modus operandi sindiket tersebut adalah suspek akan melarikan kenderaan dan bertindak menukar nombor casis pada enjin sebelum dijual secara dalam talian.

“Mereka (sindiket) ini yang turut mempunyai hubungan dengan orang dalam syarikat insurans akan melarikan kenderaan dan menukar nombor casis dan pendaftaran kereta berkenaan dengan nombor casis kereta jenis sama yang telah tidak lagi digunakan akibat kemalangan teruk (total lost).

“Kereta berkenaan kemudian dijual dengan separuh daripada harga semasa, di laman sesawang jualan tanpa diragui oleh pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Jelas Ahmad Sukarno, dua Toyota Vellfire dan Honda yang dirampas adalah kereta yang dilarikan di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak, manakala sebuah lagi kereta jenis BMW adalah kereta yang dalam proses pelupusan yang dibawa dari Singapura.

Susulan kes ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan dan kini tumpuan adalah untuk mengesan dua individu penting iaitu John dan Thomas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan salah seorang suspek telah diserahkan kepada Polis Daerah Ipoh bagi siasatan lanjut manakala lima lagi dibebaskan dan dijadikan saksi polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI