fbpx

Mengurus negara majmuk perlu bijaksana, kesedaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Menguruskan sebuah negara majmuk memerlukan kebijaksanaan dan kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan perpaduan dan mengukuhkan hubungan antara kaum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebijaksanaan dan kesedaran itu menjadi anteseden penting menyokong pembinaan ketamadunan bangsa.

“Kita perlu mendidik generasi baru dengan kesedaran sosial pentingnya kerjasama dan wujudkan rasa kepedulian antara kita agar lahir sebuah masyarakat prihatin dan saling melengkapi.

“Ketepikan segala prasangka atau stereotaip yang negatif terhadap kelompok tertentu yang mengubah persepsi sehingga boleh merosakkan perpaduan.

“Pada hari Sayyidul Ayyam ini, marilah kita berazam membina Malaysia yang empati dan saling memahami perbezaan budaya, agama mahupun tradisi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, bagi umat Islam, adil dan saksama dalam menguruskan kepelbagaian merupakan tuntutan agama kerana akhirnya mereka dinilai berasaskan takwa.

“Kita bina ketamadunan bangsa Malaysia berteraskan kasih sayang dan toleransi agar kemakmuran sama dirasa, kesejahteraan terpelihara,” katanya.

Terdahulu, beliau menyentuh firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang seharusnya mendidik umat Islam mengenai kepelbagaian etnik, ras serta suku kaum di Malaysia merupakan ‘sunatullah’ perlu difahami dan dirai.

Menurut beliau, peradaban yang maju dan harmoni dalam sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana perpaduan itu terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI