fbpx

PRN: Kementerian Pendidikan Tinggi lihat keperluan beri cuti khas keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Yusof (tengah) melakukan gimik perasmian penutup program iCompEx 2023 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra hari ini.

JITRA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melihat keperluan untuk memberi cuti khas kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk pelajar bagi membolehkan mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pihaknya akan mempertimbangkan keperluan tersebut atau sebarang kaedah lain untuk memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab itu.

“Kita akan lihat keperluan (beri cuti), andainya mungkin hari mengundi jatuh masa yang sesuai, kita akan bagi cuti atau pertimbangkan satu kaedah bagi memudahkan pekerja atau pelajar melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup program International Innovation and Invention Competition through Exhibition (iCompEx) 2023 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Kata beliau, perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan dengan pihak berkaitan dalam masa terdekat ini.

“Kita juga akan lihat semua perkara termasuk sama ada hari mengundi jatuh dalam minggu peperiksaan pelajar. Walau apa pun kita akan pastikan peperiksaan tersebut tidak terganggu,” ujarnya.

Beliau pada masa sama berkata, pelajar bebas berpolitik, namun perlu memastikan ia tidak mengganggu pengajian mereka di IPT.

“Daripada segi Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), kita sudah maklum di Parlimen bahawa kita dalam proses untuk buat beberapa pindaan yang tentunya akan beri kebebasan kepada pelajar untuk laksanakan tanggungjawab dalam politik,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI