DARI jauh jelas kedengaran seseorang sedang memasak sesuatu di atas kuali.
Ketukan demi ketukan antara sudip aluminium dengan kuali kadangkala menambahkan lagi kemeriahan pasar malam jalanan (street food) di situ.
Sesekali api dari kuali besar tersebut menjulang marak naik ke atas dengan warna jingga kemerahan.
Paling mengasyikkan adalah bunyi bahan yang dimasak itu persis benda keras seperti kerang, siput, ketam mahupun apa sahaja haiwan bercengkerang.
Apabila diamati dengan mata kasar di sebuah gerai makanan jalanan di situ, sangkaan awal Mark yang berasal dari Sydney, Australia ternyata meleset.
Apa yang berada di depan matanya adalah batu kerikil ditumis atas kuali panas bersama bahan-bahan lain dan perencah khas.
Kegilaan dan trend ‘makan’ batu kerikil yang diambil dari sungai atau air terjun sedang menjadi fenomena bagi masyarakat di wilayah Hunan, China.
“Pada mulanya, saya fikir itu adalah sejenis siput laut atau sungai yang ditumis bersama bahan-bahan khas.
“Tapi sangkaan saya ternyata silap kerana apa yang dimasak oleh tukang masak di gerai tersebut adalah batu kerikil berwarna hitam bersinar.
“Ia (batu) tiada rasa. Saya hanya menghisap dan kemam di dalam mulut untuk nikmati rasa sensasi pedas dan manis yang datang daripada batu ini,” katanya.
Pada awalnya, Mark begitu pelik dan tidak tahu cara menikmati sajian unik tersebut.
Tambah Mark yang juga seorang pengembara dan vlogger, bermula dari saat itu dia mula belajar cara makan batu kerikil mengikut langkah yang betul seperti diajar masyarakat tempatan di sana.
Katanya, batu yang telah siap ditumis dengan cili khas bersama beberapa bahan lain seperti sayur tidak ditelan seperti makanan lain.
Mark berkata, sebaliknya ia ‘dinyonyot’ untuk menikmati rasa pedas-pedas manis yang melekat pada batu tersebut.
Pada akhirnya, batu kerikil yang telah siap ‘dimakan’ itu boleh dibawa balik pengunjung untuk disimpan sebagai kenang-kenangan dan cenderahati.

Bercerita lanjut, hidangan yang menjadi trend itu dikenali sebagai suodiu.
Ia dikatakan berasal dan dibawa dari wilayah Hubei iaitu satu kawasan di timur China.
“Pelanggan mesti menghisap batu-batu kecil itu untuk menikmati rasa pedas dan sedikit manis daripada hidangan ini.
“Selepas menyedut perisa yang meresap pada batu ini, mereka hendaklah meluahnya.
“Soudiu sendiri bermaksud menghisap dan meludah.
“Jadi pelanggan yang datang menikmati hidangan ini di gerai kami harus berbuat demikian,” ujar salah seorang penjual makanan unik tersebut.
Sebelum ini, video beberapa orang pelanggan sedang menikmati suodiu dimuat naik ke dalam media sosial sehingga tular ke seluruh dunia.
“Cara masakannya juga tidak susah.
“Kami akan mulakan dengan memasukkan beberapa batu kerikil yang siap dicuci ke dalam kuali sebelum ditumis dengan bahan-bahan tertentu.
“Kemudian, minyak dan cili dituang di atas batu tersebut sehingga kedua-dua bahan utama itu disebati.
“Selang beberapa minit, sos bawang putih, beberapa hirisan bawang putih dan lada dipotong dadu turut dimasukkan ke dalam hidangan tersebut sebelum digaul sebati sekali lagi,” katanya.
Selang beberapa minit, hidangan yang telah siap dimasak itu akan diangkat serta diletakkan di dalam sebuah kotak sebesar tapak tangan dan ia sedia untuk dinikmati pelanggan.
Tambah penjual yang hanya ingin dikenali sebagai Han itu, suodiu di gerainya dijual pada harga 16 yuan (RM10.30) sekotak.
Dia turut memaklumkan, suodiu dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun lalu.
Katanya, ia diturunkan dari generasi ke generasi sejak zaman nenek moyang hingga ke hari ini.
Menurut sejarah, tukang perahu yang terkandas di tengah sungai dan kehabisan stok makanan akan mencari batu untuk dimasak bersama rempah untuk alas perut.
“Suodiu juga dimakan apabila bekalan makanan dan sayur-sayuran habis sepenuhnya ketika mengembara di sepanjang Sungai Yangtze di Hubei,” kongsinya.
“Batu kerikil ini kami tidak telan, sebaliknya hanya dikemam dalam mulut bagi merasai keenakan tumisan dan selepas itu dikeluarkan semula.
“Ia adalah tradisi dan salah satu kepercayaan nenek moyang kami yang masih diteruskan hingga ke hari ini,” kata Xin yang merupakan salah seorang penduduk asal di situ.
Xin telah mempraktikkan amalan makan suodiu sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, rata-rata netizen terutama dalam kalangan pelancong serta pengembara tegar menyifatkan harga yang dikenakan terlalu mahal.
Hal ini memandangkan bahan-bahan menghasilkan suodiu boleh digunakan semula terutamanya batu kerikil.
Sejak tular dalam media sosial, pelbagai video reaksi dimuat naik termasuk beberapa vlogger makanan terkenal yang datang ke Hunan untuk merasai sendiri keenakkan hidangan pelik itu.














