SELEPAS mengambil posisi yoganya pada pagi itu, Julia Azhar, 25, bersedia untuk mengikuti kelas yoga bersama kucing yang pertama kali disertainya.
Kongsi gadis kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu, sebaik sahaja mendengar tentang kewujudan kelas yoga bersama kucing di Lembah Klang, dia terus mendaftarkan diri.
“Kucing dan yoga adalah dua perkara yang paling saya sukai. Apabila mendapat tahu ada sebuah kelab kucing di Ampang yang menganjurkan aktiviti yoga bersama kucing, saya terus mengajak rakan baik saya untuk sama-sama mencuba aktiviti ini.
“Pada mulanya, saya terasa sukar untuk fokus kerana keinginan bermain bersama kucing-kucing comel yang ada, namun selepas beberapa minit, ia menjadi mudah dan menyeronokkan,” katanya yang berhasrat untuk menyertai aktiviti tersebut setiap minggu.
Aktiviti yoga bersama kucing yang ditawarkan oleh sebuah kafe kucing di Ampang bernama Rocky’s Cat Club itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Menggabungkan keseronokan bermain bersama haiwan comel berbulu itu dengan senaman kesihatan yoga, aktiviti itu dengan pantasnya menarik minat orang ramai, khususnya dalam kalangan peminat haiwan comel itu.
Pemilik Rocky’s Cat Club ialah Hazlina Hazali, 44, dan suaminya, Zailani Ali, 57.
Hazlina berkata, idea untuk menubuhkan aktiviti sedemikian kerana merasakan ia sesuatu yang menarik dan yoga bersama haiwan sebenarnya sudah popular di luar negara, sebagai contoh yoga bersama kambing dan biri-biri.
“Memandangkan kami mempunyai ruang di Rocky’s Cat Club, maka saya terus mencari seorang jurulatih yoga yang juga seorang ‘ibu kucing’ supaya dia juga biasa dan tidak takut dengan kucing,” ujar Hazlina kepada Panorama.
Tambah wanita itu lagi, syarat utama untuk aktiviti yoga bersama kucing adalah peserta tidak takut atau mempunyai alahan terhadap kucing.
“Hal ini kerana kucing ini sifatnya manja dan akan mendekati kita saat melakukan yoga,” katanya.
Aktiviti yoga di Rocky’s Cat Club itu dikendalikan oleh selebriti yang juga merupakan seorang jurulatih yoga iaitu Atilia Haron.

Jelas Hazlina, Atilia dilihat sebagai orang yang tepat untuk mengendalikan sesi yoga di situ memandangkan dia merupakan seorang jurulatih yoga yang bertauliah dan pencinta kucing.
“Pemilihan Atilia dilihat sebagai sangat bersesuaian dengan konsep aktiviti ini memandangkan Atilia merupakan seorang jurulatih yoga, dan dalam masa yang sama turut memiliki dua ekor kucing.
“Justeru, Atilia sudah cukup biasa dan selesa bermain dengan kucing,” katanya.
Yoga bersama kucing ternyata bukan hanya aktiviti suka-suka, memandangkan ia sebenarnya mempunyai manfaat dari sudut kesihatan.
Kajian menunjukkan frekuensi bunyi dengkuran (purring) kucing mampu memberi ketenangan kepada manusia dan apabila ia digabungkan bersama yoga yang mempunyai manfaat kesihatannya tersendiri seperti membuatkan seseorang lebih fokus, maka ia akan menjadi satu terapi kepada kucing dan juga manusia.
Tambah Hazlina, kucing juga merupakan haiwan yang sensitif terhadap persekitarannya.
“Pemilik kucing pastinya tahu bahawa kucing merupakan haiwan yang peka dan sensitif dengan persekitarannya.
“Justeru, apabila persekitaran yoga itu tenang, kucing juga akan menghasilkan getaran atau vibration yang sesuai dengan persekitarannya, menjadikan haiwan itu tenang,” katanya.
Malah, yoga bersama kucing turut membantu peserta menjadi lebih fokus dan menumpukan perhatian terhadap yoga.
“Ada antara peserta yang memberitahu bahawa agak sukar untuk fokus terhadap senaman ini apabila ada haiwan comel di sekitar mereka, namun ia sebenarnya membantu peserta untuk lebih fokus dengan melawan ‘gangguan’ yang ada,” kata wanita kelahiran Ampang itu.

Kongsi Hazlina lagi, sepanjang mengadakan aktiviti yoga bersama sekitar 25 ekor kucing di premis miliknya itu, kucing-kucing di situ semuanya berkelakuan baik dan tidak pernah mengganggu peserta yoga.
“Kesemua kucing di sini cukup manja dan akan mendekati pengunjung studio.
“Setakat ini juga, mereka tidak pernah mengganggu peserta yoga sepanjang sesi berlangsung dan tidak kisah berkongsi kawasan mereka untuk aktiviti tersebut,” katanya.
Buat masa ini, yoga bersama kucing diadakan setiap Sabtu pada pukul 9.30 pagi. Yuran yang dikenakan pula adalah sebanyak RM30 bagi satu sesi.
Biarpun baru dilancarkan dalam tempoh kurang sebulan, ia sudah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, menjadikan Hazlina cukup teruja.
Yoga bersama kucing itu dibuka kepada semua, namun oleh kerana permintaan yang memberangsangkan dalam kalangan pencinta kucing wanita, Hazlina berhasrat untuk mengadakan sesi yoga bersama kucing khusus bagi kaum Hawa, sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Selain aktiviti yoga bersama kucing, Rocky’s Cat Club seluas tiga tingkat itu turut menempatkan sebuah kafe, kedai menjual peralatan kucing dan juga hotel kucing.
Ujar Zailani, dia juga berhasrat untuk memperbanyak lagi aktiviti bersama kucing dan akan mengadakan acara kelab pemuisi bersama kucing pada Ogos depan.
“Kami sudah pun merencana beberapa aktiviti berkaitan kucing dan salah satunya aktiviti malam puisi di Rocky’s Cat Club dengan kerjasama sebuah kelab pemuisi iaitu pemuisi akan melagukan sajak sambil ditemani kucing-kucing,” katanya.














