fbpx
GAMBAR HIASAN

Tunggu hampir setahun dapat lesen memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Orang ramai terutamanya golongan muda yang tinggal di Lembah Klang mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun hanya untuk memiliki lesen memandu bagi kelas B2 dan D.

Jumlah pemohon yang terlalu ramai berikutan penutupan pusat memandu ketika era Covid-19 dan pertambahan anak muda berusia 18 tahun menyebabkan ribuan orang terpaksa menunggu lebih 12 bulan untuk mendapat slot ujian.

Situasi bertambah buruk apabila ramai calon yang masih me­nunggu giliran ujian memandu itu terdiri daripada lepasan sekolah dan universiti.

Malah, ada antara mereka kini berdepan kesukaran keluar be­kerja selain takut untuk ke lokasi pengajian menggunakan motosikal atau kereta hanya kerana tidak memiliki lesen.

Mohd. Aqil Md. Rosdi, 24, berkata, dia mula mendaftar untuk mendapatkan lesen kelas D sejak Disember tahun lalu, namun sehingga kini masih me­nunggu giliran untuk menjalani ujian bersama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, dia telah menunggu hampir tiga bulan untuk panggilan berkenaan selepas selesai menjalani latihan selama 15 jam pada Mac lalu.

“Masalah juga kalau kami (calon) terpaksa tunggu lama, sebab perlu guna kenderaan untuk bergerak, kalau memandu tanpa lesen kena tahan pula. Kalau nak naik kenderaan awam, kami perlu keluarkan kos tinggi.

“Perancangan saya untuk ambil lesen pada hujung tahun lepas adalah bagi memudahkan menjalani latihan praktikal. Namun, ujian JPJ belum dapat sampai sekarang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Seorang lagi calon, Mohammad Afiq, 28, mendakwa pernah disaman beberapa kali ketika dalam perjalanan ke tempat kerja hanya kerana tidak mempu­nyai lesen.

Katanya, dia bukannya tidak pernah memohon untuk memiliki lesen memandu dan sudah beberapa kali memperbaharui lesen L bagi kelas D gara-gara telah menunggu hampir setahun.

Baginya, tempoh tersebut sa­ngat tidak masuk akal dan menyu­karkannya untuk menjalankan urusan harian.

“Saya bekerja dan sememang­nya perlu miliki lesen segera. Tetapi bila sudah lambat, asyik tunggu sampai dekat setahun, bila nak ada lesen?.

“Jujur cakap, saya hanya dipanggil untuk jalani latihan dua kali sebulan sebab slot sentiasa penuh. Alasan mereka adalah tak cukup tenaga pengajar.

“Mahu habiskan tempoh latihan pun berbulan, dah habis kena tunggu lagi untuk ujian JPJ. Akhirnya jadi macam saya, sudah hilang minat nak ambil lesen,” luahnya.

GAMBAR HIASAN

Bagi Noor Ainiza Kamaruzzaman, 28, pula, dia terpaksa memperbaharui lesen L sebanyak dua kali sementara menunggu giliran menjalani ujian JPJ.

“Setiap kali perbaharui lesen L, kena bayar RM20, dua kali sudah RM40. Jadi kos saya nak ambil lesen semakin bertambah.

“Saya kini mahu siapkan lesen motosikal kelas B2, sebab perlu berulang-alik dari rumah ke tempat kerja guna motosikal.

“Saya daftar untuk lesen motosikal pada awal November tahun lepas dan baru-baru ini sahaja selesai latihan amali.

“Mula latihan pun bulan Februari dan nampaknya sekali lagi kena perbaharui lesen L untuk tunggu giliran ujian JPJ,” kata­nya.

Terdahulu, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengatasi isu lambakan calon ujian memandu yang kini dikatakan mencecah ratusan ribu orang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu lambakan itu berlaku akibat penutupan Institut Memandu susulan negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini dan pasukan petugas khas yang diketuai JPJ itu akan mencari kaedah mengatasi lambakan calon. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN