KAJANG – Kekurangan tenaga pengajar di pusat latihan memandu dan bilangan pelajar yang melebihi kuota merupakan antara punca berlakunya lambakan calon sehingga ada yang terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan lesen.
Situasi tersebut berlaku di kebanyakan pusat memandu di Lembah Klang yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Menurut Pengerusi Institut Memandu Kenderaan Darat GPSM Sdn. Bhd. (IMKEDA), Hamid Samion, isu ini bukanlah sesuatu yang baharu bahkan ia mula menjadi ‘kronik’ sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Sejak PKP lepas, bila Institut Memandu (IM) diarahkan tutup, ramai calon terpaksa tunda dan dilanjutkan tempoh mereka untuk dapat lesen. Selalunya dalam tempoh satu hingga dua bulan boleh selesai, tetapi bila yang dua tiga tahun lepas pun belum selesai dapat jalani latihan dan ujian penilaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah calon semakin bertindih.
“Tempoh menunggu juga semakin lama sehingga hampir setahun, paling awal pun enam bulan,” katanya.
Tambah Hamid, situasi tersebut juga menyebabkan kebanyakan IM berhadapan dengan masalah tunggakan kerja sehingga tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang pendek.
Selain itu, katanya, ramai pengusaha IM menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar sama ada untuk lesen kelas D dan DA atau B.
“Bayangkanlah, di IM kami sendiri hanya ada 170 orang guru memandu. Calon pula ada yang daftar lebih 1,000 dalam sebulan. Atas kekangan inilah, kami tidak dapat menampung bilangan calon yang semakin bertambah setiap bulan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekurangan tenaga pengajar, Hamid memberitahu, syarat untuk menjadi seorang guru memandu juga sangat ketat dan memberi satu beban kepada mereka yang mahu mengambil lesen pengajar.
Hamid berkata, antara punca lain termasuk kekurangan pegawai JPJ selaku pegawai penilai.
“Setiap kali sesi ujian memandu JPJ, kurang 10 orang pegawai JPJ yang hadir dan setiap sesi hanya 215 calon sahaja. Di IM kami sendiri, akan dijalankan ujian JPJ sebanyak dua kali seminggu. Ini bermaksud, hanya sekitar 1,720 calon sahaja yang boleh diselesaikan dalam masa sebulan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














