fbpx

Sarjan polis didakwa terima rasuah RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis berpangkat Sarjan, Mohamad Khairol Fazli Mohd. Azali (bertopi, berjaket hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 bagi kes yang sedang disiasat, dua tahun lalu. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/KOSMO!

SEREMBAN – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 bagi kes yang sedang disiasat, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohamad Khairol Fazli Mohd. Azali, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa menyetuju terima wang untuk dirinya sebanyak RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu dan rakannya adalah suspek dalam kes yang sedang disiasat olehnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah gerai di Pekan Lukut, Port Dickson pada pukul 5 petang, 9 Disember 2021.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah atas alasan tiada wang perbelanjaan rumah selain mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

“Seorang anak saya masih sekolah manakala seorang lagi menerika rawatan masalah ‘speech delay’ (lambat bertutur),” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 28 Julai depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI