fbpx

Kerajaan berhasrat iktiraf SKM setaraf dengan SPM – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid menyaksikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bertukar dokumen perjanjian bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EP Manufacturing Berhad, Ahmad Razlan Mohamed. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran lepasan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas dasar mengenai perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet kira-kira dua minggu lagi.

“Kami akan menawarkan tempat-tempat kepada mereka yang tidak mengambil SPM atau pun gagal untuk menyertai TVET kerana kita mempunyai sijil-sijil yang dikeluarkan SKM.

“Kertas dasar (itu) akan dibawa ke Kabinet untuk menentukan bahawa sijil-sijil ini akan turut diiktiraf sebagai sijil yang sama taraf atau pun lebih tinggi daripada sijil SPM yang akhirnya mereka akan dapat masuk ke dalam pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil yang dikeluarkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Portal TVET Madani dan turut menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, terdapat beberapa lagi perubahan besar yang disarankan oleh jawatankuasa berkenaan antaranya melibatkan dasar pendidikan negara dan dasar pengajian tinggi.

Sementara itu, mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, beliau berkata, kertas Kabinet bagi mewujudkan suruhanjaya berkenaan sedang disediakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI