fbpx

Piala FA: KL City kecewakan TFC mara ke pentas akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KL City meraikan kejayaan mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan TFC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.

KUALA NERUS – KL City FC mara ke final Piala FA mengatasi Terengganu FC 4-2 menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini sebentar tadi.

Penjaga gol KL City, Muhammad Azim Al Amin muncul wira menyelamatkan sepakan diambil Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dan Liridon Krasniqi selepas aksi 120 minit berakhir seri tanpa jaringan.

Awal permainan memihak TFC yang menguji kubu pelawat menerusi Ivan Mamut seawal minit pertama menyaksikan percubaannya dinafikan Muhammad Azim.

Penyerang TFC Ivan Mamut (dua dari kiri) diasak pemain KL City FC dalam saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, sebentar tadi.

Memasuki minit ke-11, giliran Habib Haroon mencemaskan KL City namun sepakan jarak jauh ketua pasukan Sang Penyu itu sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol.

Tonggak KL City, Paulo Josue, yang sebelum itu dilayangkan kad kuning cuba mengejutkan TFC malangnya rembatan leret minit ke-34 tepat ke dakapan Mohd. Suhaimi Husin.

TFC perlu menyalahkan diri sendiri setelah gerakan Liridon dan Adisak Kraisorn minit ke-43 gagal menemui sasaran manakala rembatan deras Mamut (m-45) diselamatkan penjaga gol.

Aksi babak kedua tampak perlahan dengan insiden layangan kad kuning terhadap bek kanan KL City, Kamal Azizi Zabri dan Liridon merencatkan kelancaran permainan.

Kedua-dua pasukan terpaksa berputih mata apabila peluang Nik Sharif Haseefy (m-72) dan Sean Giannelli (m-85) melambung tinggi sekaligus mengheret aksi ke masa tambahan.

Tempoh 30 minit berlalu menyaksikan TFC dan KL City terus kebuntuan jaringan memaksa pemenang ke pentas akhir ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kegagalan Nik Sharif dan Liridon menyudahkan sepakan penalti memberi tuah kepada KL City apabila Giancarlo Gallifuoco tenang menyumbat sepakan terakhir sekaligus ke pentas final. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI