fbpx

Lelaki menyamar jemaah dicekup pecah tabung masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chunng Tsaur menunjukkan telekung dipercayai digunakan suspek bagi menyamar sebagai jemaah wanita sebelum memecahkan tabung masjid.

JITRA – Tembelang seorang lelaki berlagak alim dengan menyamar sebagai jemaah masjid selama beberapa hari sebelum bertindak memecahkan tabung rumah ibadat itu terbongkar apabila dia ditahan polis, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chien Chunng Tsaur berkata, suspek berusia 29 tahun dipercayai telah melakukan kegiatan tersebut di lapan masjid dalam daerah ini sejak awal tahun ini.

Selain itu katanya, suspek yang kini menganggur dipercayai turut terlibat dalam satu kejadian pecah rumah serta pecah kilang yang pernah menjadi tempat dia mencari rezeki, kira-kira setahun lalu.

“Siasatan dijalankan mendapati suspek tidak hanya menyamar menjadi jemaah lelaki, malah ada kalanya turut memakai telekung dan menyamar sebagai jemaah wanita.

“Penyamaran itu dilakukan bagi membuat pemerhatian sebelum dia mencari waktu sesuai memecahkan tabung rumah ibadat tersebut dengan menggunakan mesin pencanai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kerja itu dapat dijalankan dengan lancar, suspek yang beralamat di Taman Sri Aman, di sini akan menggunakan khidmat seorang lelaki bukan muslim berusia 37 tahun bagi menghantarnya ke lokasi sasaran menggunakan motosikal.

“Suspek turut dipercayai terlibat dalam kejadian tular seperti dilaporkan Utusan Malaysia dan Kosmo di Masjid Al-Aqla, Jitra pada 1 Ramadan lalu dengan peti besi masjid ditemui di pekarangan masjid, dipercayai cuba diheret keluar pencurinya.

“Kejadian terakhir berlaku di Masjid Al-Hidayah, Taman Pasu dekat Jitra dengan suspek dipercayai cuba memecahkan sebuah tabung besi di situ, namun gagal kerana tabung besi itu terlalu tebal dan berat menyebabkan dia gagal mendapatkan sebarang hasil,” ujarnya.

Katanya, polis terus melakukan siasatan dan berjaya menahan suspek pada hari sama, kira-kira pukul 12 tengah hari. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI