fbpx

Wei Chong-Kai Wun bangkit pertahan gelaran Terbuka Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tampil cemerlang mempertahankan gelaran Terbuka Taiwan selepas menang 20-22, 21-17, 21-14 ke atas Lu Ching Yao-Yang Po Han di perlawanan akhir.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mengenal erti putus asa ketika mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menang dalam aksi final sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Tian-Mu Arena, University of Taipei itu, Wei Chong-Kai Wun menjinakkan beregu tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han menerusi aksi tiga set 20-22, 21-17, 21-14 dalam tempoh lebih sejam.

Meskipun turun dengan tekanan cukup tinggi selaku juara bertahan selain berdepan sokongan padu penyokong tuan rumah, namun beregu No.23 dunia itu tetap tenang walaupun tewas di set pertama.

Aksi di set kedua menyaksikan Wei Chong-Kai Wun menampilkan aksi lebih kemas apabila mendahului permainan 11-7 bagi meletakkan lebih tekanan ke atas Ching Yao-Po Han.

Walaupun pemain lawan cuba melakukan kebangkitan dengan mengejar dan menyamakan kedudukan 16-16, namun Wei Chong-Kai Wun tidak mudah hilang fokus sebelum menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bersambung set ketiga, naib juara Malaysia Masters itu diberi tentangan sengit sehingga mata ke-11 sebelum mula menjarakkan kedudukan, seterusnya memastikan kemenangan 21-14.

Hasil kemenangan tersebut, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM77,583) serta pingat manakala Ching Yao-Po Han berpuas hati dengan AS$7,980 (RM37,318).

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung lebih awal, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut cemerlang apabila muncul juara menewaskan satu lagi wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-12, 21-8. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI