MASALAH kebolehpasaran graduan boleh menjadi barah jika tidak ditangani dalam keadaan ekonomi serba mencabar ketika ini.
Perkara tersebut pasti merugikan apabila pelaburan kerajaan dalam pendidikan tinggi tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk pertumbuhan ekonomi negara.
Saban tahun, pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi, syarikat swasta, konglomerat dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan isu kebolehpasaran graduan di negara ini dapat diselesaikan serta dioptimumkan bakat mereka.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai peranan dan inisiatif yang diambil Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi masalah itu, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Ketua Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew baru-baru ini.
KOSMO AHAD: Kita dapati minat anak muda untuk menyambung pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin merosot disebabkan kekurangan peluang pekerjaan. Apakah usaha yang boleh dilakukan pihak tuan bagi mengubah stigma ini?
THOMAS: Menerusi usaha dan inisiatif-inisiatif berterusan TalentCorp, kami menyedari akan keperluan intervensi dengan lebih awal kepada para pelajar.
Apabila pelajar memasuki universiti atau bakal menamatkan pengajian di menara gading, bukan untuk mengatakan bahawa perubahan tidak boleh berlaku, tetapi kadang-kadang pemikiran pelajar telah diasah serta dibentuk.Justeru, pada tahun 2022, TalentCorp mula memberi fokus dengan menembusi kumpulan pelajar sekolah menengah melalui inisiatif Yes! Rock The School yang menggunakan input dan data semasa dijana daripada Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL).
Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk mengubah stigma dengan memberikan pendedahan awal tentang pemilihan kerjaya serta realiti landskap pekerjaan semasa dan masa hadapan.
Para pelajar turut didedahkan dengan aspek kerjaya yang berpotensi tinggi dan kritikal dalam pasaran.
Menerusi inisiatif itu juga, kami membantu memudahkan para pelajar sekolah mengenali potensi mereka melalui kaedah pemprofilan bakat melalui portal mynext yang dibangunkan oleh TalentCorp sendiri.
Sekiranya masalah ini berterusan, ia akan memberi impak buruk kepada negara. Apakah impak negatif yang bakal dihadapi negara pada masa depan?
Jika dahulu pelajar lepasan SPM berlumba-lumba cuba untuk mendapatkan tempat di menara gading atau institut pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf, namun kepesatan teknologi dan perubahan landskap pasaran pekerjaan telah mempengaruhi keputusan serta hala tuju kerjaya anak muda. Mereka sudah berani menceburi bidang-bidang baharu seperti pekerjaan ekonomi gig.
Kaji selidik Jabatan Perangkaan menerusi data 2019 mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus (%) pelajar lepasan SPM tidak berhasrat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
Jika fenomena ini berterusan, Malaysia akan kehilangan prospek tenaga kerja untuk memenuhi keperluan dan permintaan industri serta ekonomi secara keseluruhannya.
Ia turut menjejaskan keupayaan kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi jika pelajar menjauhi kemahiran tinggi.
Sebab itu kesedaran awal melalui program seperti Yes! Rock The School amat penting. Kami percaya bahawa masih ada peluang untuk memperbaiki keadaan.
Sebagai tambahan, sudah tiba masanya untuk kita mengembangkan persepsi pendidikan tinggi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam norma kehidupan kita.
Hakikatnya, graduan TVET mendapat pekerjaan dengan lebih mudah dan cepat pada hari ini.
Beberapa institusi TVET juga berkongsi dengan TalentCorp bahawa pelajar mereka telah ditawarkan peluang pekerjaan walaupun belum menamatkan pengajian.
Ketika ini ramai graduan universiti gagal mendapat pekerjaan yang diidamkan. Apakah sebab utama perkara ini berlaku?
Salah satu cabaran terbesar dalam ekosistem bakat Malaysia adalah ketidakpadanan pekerjaan dan guna tenaga tidak penuh (underemployment).
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat sejak tahun 2017.
Sebab utama perkara ini berlaku adalah kerana bekalan bakat tidak mampu memenuhi permintaan industri.
Ini adalah salah satu faktor utama TalentCorp berusaha membangunkan dan memacu Majlis Kemahiran Sektor supaya pihak industri boleh berkongsi secara langsung dan menentukan jenis kemahiran yang mereka perlukan.
Kita perlu menghasilkan graduan yang mempunyai kemahiran dalam permintaan (in-demand skills) dan kalis masa hadapan (future-proof).
Di samping ini, hasil dapatan kajian MyCOL oleh TalentCorp serta maklum balas berterusan yang diterima daripada pihak industri, antara cabaran terbesar dihadapi dalam usaha untuk merekrut graduan tempatan adalah jurang kemahiran insaniah seperti komunikasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis.
Ada pihak mengatakan gaji graduan ketika ini tidak setimpal kerana tidak jauh beza dengan pendapatan mereka yang buat e-hailing. Apakah pendapat tuan mengenai isu ini?
Menerusi dapatan kajian yang telah dilaksanakan oleh Khazanah Research Institute (KRI), graduan TVET berkelulusan ijazah memperoleh pendapatan lebih baik berbanding lulusan diploma dan sijil kemahiran.
Ini menunjukkan bahawa peluasan peluang untuk graduan melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi dapat melonjakkan pendapatan mereka di pasaran pekerjaan.
Hasil kajian turut mendapati output bakat yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang tertentu adalah lebih mudah mendapat tempat di pasaran pekerjaan.
Graduan TVET yang memilih untuk bekerja sendiri juga memperoleh berpendapatan melebihi RM5,000 iaitu jauh lebih besar berbanding mereka bekerja makan gaji.
Lebih memberangsangkan, sebilangan besar graduan TVET ini adalah lulusan diploma.
Pada pandangan kami, pendapatan yang diperoleh daripada sektor e-hailing ini rata-ratanya bersifat sementera serta berdasarkan keupayaan kudrat dan tenaga.
Pendapatan daripada pekerjaan ini dijana menerusi keupayaan jumlah penghantaran atau perkhidmatan dilaksanakan oleh pekerja tersebut.
Sebagai sebuah agensi di bawah KSM, pihak tuan melakukan pelbagai usaha termasuk Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan di negara ini. Boleh tuan terangkan mengenai usaha ini?
(MySIP) merupakan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengajian Tinggi menerusi mandat Kementerian Sumber Manusia untuk TalentCorp menjadi agensi yang memacu gerak kerja berkaitan amalan latihan industri di peringkat nasional.
Ia juga bagi memastikan bakat yang menjalani MySIP mendapat pendedahan realiti pekerjaan sewajarnya bagi memenuhi keperluan serta permintaan pasaran pekerjaan dan ekonomi negara.
Diperkenalkan sejak 2012 untuk memudah cara pelajar IPT atau institut latihan kemahiran (ILK) menjalani latihan industri berstruktur, MySIP telah memanfaatkan lebih 110,000 pelajar dengan penyertaan aktif syarikat berdaftar bersama program ini.
Pada tahun lalu, TalentCorp telah mengintegrasikan pelaksanaan MySIP menerusi portal mynext.
Ia bertujuan membantu pelajar mengenal pasti minat, kecenderungan serta memperkasakan elemen kebolehpasaran mereka selaras dengan kehendak industri dan pekerjaan diidamkan.
Melalui portal solusi mynext ini juga, industri serta syarikat kini berpeluang untuk merekrut pelatih industri melalui manfaat insentif potongan cukai dua kali yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Menerusi mynext juga, syarikat boleh mengiklankan penempatan latihan industri untuk dimohon oleh bakat di dalam pangkalan data.
Melalui integrasi MySIP dan mynext ini juga, lebih banyak peluang latihan industri dapat diwujudkan dan tidak terhad di Lembah Klang atau bandar besar saja.

Apakah elemen-elemen dititikberatkan oleh pihak tuan kepada para graduan yang mengikuti program MySIP?
Pelaksanaan inisiatif MySIP berfokus dengan memberi penekanan kepada kerangka latihan industri yang berstruktur, pendedahan kepada pengalaman kerja sebenar, elemen-elemen kebolehpasaran selaras keperluan industri.
Mereka juga mendapat elaun sepanjang berlangsungnya penempatan latihan industri ini.
Menerusi inisiatif MySIP, TalentCorp mendapati bahawa 33% pelajar iaitu tiga daripada 10 pelatih mendapat pekerjaan pertama mereka melalui latihan industri.
Jika kita melihat laporan Persatuan Kolej dan Majikan Kebangsaan Amerika Syarikat (NACE), kadar penukaran mereka berada pada tahap 56%. Jadi, penting untuk kita mendekati latihan industri dengan lebih strategik. Ia pasti akan membantu mengurangkan pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan.
Sehingga kini, berapa ramaikah graduan yang berjaya memperoleh manfaat daripada program ini. Adakah semua mereka berjaya mendapat pekerjaan diidamkan selepas menyertai program ini?
Menerusi dapatan Laporan Trend Pelaksanaan MySIP 2022, 33% daripada jumlah pelatih industri mendapat pekerjaan pertama menerusi latihan industri yang dilaksanakan.
Menerusi MySIP dan mynext juga, lebih 1,000 peluang latihan industri tersedia untuk dimohon dan dimanfaatkan oleh bakat muda.
Antara sektor utama yang telah mengiklankan penempatan latihan industri untuk dimohon oleh pelajar dan bakat muda berkelayakan adalah sektor kewangan, sumber manusia, perkhidmatan, pemasaran dan jualan, teknologi maklumat, kejuruteraan serta undang-undang.
Ada sesetengah majikan ingin menggaji pekerja yang mempunyai pengalaman. Ini menyebabkan graduan sukar memperoleh kerja selepas hadir temu duga. Apakah pendapat tuan mengenai hal ini?
Berdasarkan Laporan Trend Latihan Industri MySIP TalentCorp 2022 juga, 84.68% pelajar melaporkan bahawa mereka menerima taklimat on-boarding yang bersesuaian dengan skop tugas mereka.
Sementara 95.65% pelajar cenderung mengesyorkan majikan syarikat MySIP ini kepada rakan-rakan untuk turut mendapat peluang yang sama. TalentCorp berpendirian bahawa latihan industri boleh dioptimumkan sebagai salah satu strategi pembangunan bakat yang berimpak.
Antara cadangan pemerkasaan MySIP untuk terus mendapat manfaat serta situasi menang-menang bakat dan syarikat adalah dengan memperkukuhkan jaringan industri serta institusi. Ia bagi membolehkan lebih banyak peluang latihan industri dapat diwujudkan di seluruh negara.
















