fbpx

Operasi TH di Mekah bertaraf lima bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im memotong riben poster bagi melancarkan Program Kebersihan Masyair di Hotel Land Premium, Mekah semalam.

MEKAH – Beberapa perkara perlu menjalani proses penambahbaikan untuk memantapkan lagi operasi Tabung Haji (TH) di sebalik perkhidmatan bertaraf lima bintang yang dipersembahkan kepada jemaah pada setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, secara peribadi beliau kagum dengan apa yang disediakan oleh TH terutama persiapan di Masyair melibatkan operasi safari wukuf iaitu penjagaan kepada jemaah terlantar di atas katil hospital di Arafah.

Sehubungan itu katanya, penarafan peribadi itu diberi selepas melihat sendiri operasi dan mendengar taklimat penuh yang disampaikan oleh Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

“Ia diberi dari sudut komitmen yang bukan sahaja daripada TH, malah Kementerian Kesihatan Malaysia. Semalam (kelmarin) saya melakukan lawatan mengejut di pusat rawatan Syisyah dan mendapati petugas memberikan komitmen untuk merawat dan membedah pesakit.

“Namun, dalam kita berusaha, sudah tentu ada kekurangan di mana saya lihat ia memberi peluang untuk TH menambah baik dan belajar lagi berdasarkan maklum balas daripada jemaah,” katanya.

Beliau ditemui ketika melancarkan Program Kebersihan Masyair bersama kepimpinan tertinggi TH di Hotel Land Premium di sini.

Menurut Mohd. Na’im, antara perkara yang boleh ditambah baik termasuk layanan, makanan, bilik dan kenderaan.

Tambahnya, terdapat 25 inisiatif yang diperkenalkan oleh TH pada tahun ini termasuk ambulans dilengkapi penyokong hayat, ziarah rahmah, mobiliti semasa kecemasan, pengusung boleh ubah, ujian makmal terkini, e-Bimbingan, kumpulan WhatsApp dan bungkusan makanan sedia dimakan.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabeeah secara dasarnya telah bersetuju dengan hasrat Malaysia untuk mengadakan Simposium Perdana Haji di Kuala Lumpur.

“Persetujuan itu diperoleh melalui perbincangan di WhatsApp kerana Rawfiq sibuk dengan simposium di Jeddah. Dia kata Arab Saudi sedia beri kerjasama sekiranya kita berhasrat untuk mengadakannya untuk manfaat rantau Asia Tenggara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI