fbpx

SRAM dapat suntikan tonik terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain skuasy menunjukkan reaksi gembira selepas mendapat penajaan kasut dan pakaian pada majlis yang diadakan di Arena Nicol David hari ini. - SRAM

KUALA LUMPUR – Barisan pemain skuasy kebangsaan mendapat tonik terbaik dalam usaha melakar pencapaian gemilang dalam baki pertandingan tahun ini termasuk Kejohanan Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China dari 26 hingga 30 Jun ini.

Ia selepas Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjalinkan kerjasama dengan ASICS sebagai penaja kasut rasmi mereka selama tiga tahun bermula 1 Jun 2023 sehingga 1 Jun 2026.

Selain itu, SRAM juga berbangga memperkenalkan Perfect Sports dalam mempromosikan jenama Maxx Bolt sebagai penaja pakaian rasmi atlet-atlet dalam kejohanan-kejohanan selama tiga tahun.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ASICS dan Perfect Sports atas sokongan dan dedikasi daripada mereka. Komitmen ini membolehkan persatuan untuk terus berjaya di peringkat antarabangsa.

“Kami menjangkakan kerjasama yang erat agar kami terus berusaha untuk menempa kejayaan dalam dunia skuasy,” menurut kenyataan daripada SRAM.

SHARON (tengah) dan Born Tib Soom Nik (dua dari kiri) menunjukkan kasut tajaan ASICS pada majlis penajaan di Arena Nicol David hari ini. – SRAM

Turut hadir pada majlis penajaan di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu ialah Timbalan Presiden SRAM, Sharon Wee; Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (R) S. Maniam; Setiausaha Kehormat SRAM, Nafzahizam Adnan; Pengurus ASICS Country, Born Tib Soom Nik dan wakil Maxx Bolt, Nicholas Sam Jr.

Ia secara tidak langsung memberikan rangsangan baharu kepada tiga beregu campuran yang menggalas cabaran negara di Hangzhou hujung bulan ini seperti Syafiq Kamal-Aifa Azman, Ivan Yuen-Rachel Arnold dan Addeen Idrakie-Ainaa Amani Ampandi.

Apa tidaknya, kejohanan itu boleh dilihat sebagai langkah persediaan terbaik untuk mengukur keupayaan mereka menjelang Sukan Asia Hangzhou bermula 26 September hingga 5 Oktober depan.

Ini kerana acara beregu campuran akan dipertandingkan buat kali pertama pada temasya berprestij sukan itu nanti.

Selain itu, SRAM juga bakal menghadapi beberapa pertandingan penting tahun ini seperti Kejohanan Remaja Dunia di Melbourne, Australia (18-29 Julai), Kejohanan Individu Remaja Asia di Dalian, China (16-20 Ogos) dan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia di New Zealand pada 11 hingga 17 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI