fbpx

Mahkamah: Laporan psikiatri belum sedia, Yasin masih di Hospital Bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman masih lagi berada di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin pada sebutan kes dan laporan psikiatri di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, di sini hari ini.

Semasa prosiding, Ahmad Zuhaini memaklumkan laporan penuh berhubung tahap kesihatan mental Yasin selaku tertuduh itu masih belum diperolehi.

“Pihak kami dimaklumkan laporan psikiatri belum sedia. OKT (orang kena tuduh) juga tidak dibawa pada hari ini. Jadi pihak kami memohon satu lagi tarikh lain bagi sebutan (laporan psikiatri),” kata Ahmad Zuhaini.

Sementara itu, peguam bela Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin mengesahkan perkara itu.

“Laporan psikiatri seperti diperintah mahkamah lalu, ia masih dalam proses disiapkan hospital. Mengikut undang-undang, hospital mempunyai masa maksimum dua bulan untuk siapkannya. Tiada bantahan untuk satu lagi tarikh sebutan,” katanya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Nik Nasimah kemudian menetapkan 6 Julai ini bagi sebutan semula kes dan laporan psikiatri itu.

Dalam prosiding sebelum ini, Yasin telah diperintah ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Hakim Nik Nasimah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pada masa sama turut dikemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Pada 15 Mac lalu, Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiganya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

Ia berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan yang dikemukakan Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI