fbpx

98 peratus pelaburan asing di Johor berjaya direalisasi – MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU ZAFRUL (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Johor 2023 secara bersama dengan Onn Hafiz Ghazi di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerjasama baik antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri telah berjaya menyaksikan sebanyak 98 peratus projek pelaburan asing di Johor berjaya direalisasikan.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Johor bagi menjayakan pelaburan khususnya dalam sektor sumber tenaga boleh diperbaharui, petrokimia serta elektrik dan elektronik.

“Johor bukan sahaja menunjukkan momentum pelaburan yang positif, tetapi semakin kukuh khususnya dalam beberapa sektor utama. Dengan kejayaan merealisasi sehingga 98 peratus pelaburan, Johor adalah contoh daripada segi pelaksanaan prestasi tertinggi dalam negara.

“Manakala daripada sudut nilai eksport antarabangsa bermula Januari hingga April tahun ini, Johor menduduki tempat pertama dengan sebanyak 30 peratus dari negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Johor 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, pihaknya yakin Johor akan dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang merekodkan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam negara buat tahun kedua berturut-turut.

“Tahun lalu, kita berjaya merekodkan pelaburan asing sebanyak RM70.6 bilion, tertinggi di Malaysia. Bagi nilai eksport antarabangsa antara Januari hingga April, kita merekodkan sejumlah RM247.59 juta, iaitu kedudukan pertama berbanding kedudukan ketiga dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kejayaan ini dapat direalisasi melalui kerjasama erat antara agensi pusat dan negeri. Jadi kita dah pendekkan tempoh bagi memulakan perniagaan daripada lebih enam bulan kepada kurang daripada tiga bulan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI