fbpx
FAIZAL TAHIR

Zaman ‘poyo’ sudah berlalu – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS 17 tahun, hati Faizal Tahir akhirnya terbuka untuk mendedikasikan sebuah konsert sulung, Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur buat peminat yang tidak pernah berhenti menjadi pendukung perjalanan seninya.

Ketika penghibur lain berlumba-lumba mengadakan konsert, berbeza situasi buat Faizal Tahir walaupun sudah 17 tahun mengabadikan diri sebagai anak seni.

Bagi figura berusia 45 tahun itu, hatinya tidak pernah membuak-buak untuk mengadakan konsert walaupun negara sering dibanjiri variasi acara tersebut sama ada dibikin penyanyi dalam mahupun luar negara.

Alasan pemilik nama penuh Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu, kekuatan staminanya dirasakan tidak lagi lincah dan mampu untuk menyanyikan berbelas lagu seperti dahulu.

Namun, selepas pujukan demi pujukan, ‘tembok’ kerisauan anak kelahiran Kuala Lumpur itu akhirnya runtuh apabila bersetuju untuk beraksi menerusi konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC) pada 2 September depan.

PADA usia 45 tahun, gimik kontroversi tidak lagi menjadi keutamaannya dalam sesebuah persembahan tetapi lebih kepada penceritaan.

Pujukan

“Secara jujurnya, stamina adalah sebab utama saya tangguh impian bertahun-tahun untuk mengadakan konsert solo walaupun dipujuk berkali-kali.

“Sebab saya rasa tidak mampu lagi untuk menyanyi lebih 20 buah lagu. Kadang-kadang menyanyi tiga empat buah lagu dalam sebuah persembahan pun sudah cukup baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam nada teruja, pelantun lagu Sampai Syurga itu berasakan tahun ini merupakan masa terbaik untuknya memberi hadiah buat para peminat yang tidak pernah mengalah menyuarakan hasrat ingin hadir ke konsert solonya.

“Saya rasa ini adalah waktu terbaik selepas bertahun-tahun dipujuk oleh pihak pengurusan, sekali gus tanda orang masih ingin dengar saya menyanyi.

“Jika lihat dalam media sosial, memang ramai peminat meminta untuk membuat konsert solo dan itu salah satu yang berjaya mencairkan hati saya,” ujarnya.

Ditanya sama ada lambakan konsert penyanyi dalam dan luar negara menjadi faktor hatinya terbuka, jawapannya tidak sama sekali.

“Sebenarnya bila saya lihat lagi ramai buat konsert, lagilah membuatkan saya tidak mahu lakukan.

“Sejujurnya, saya bersetuju sebab berasa sudah tiba masa untuk bersedia kongsi benda baik kepada peminat.

“Jadi, keputusan ini saya rasa saya tidak dipengaruhi oleh unsur luar lain pun,” tutur naib juara program realiti, One In A Million musim pertama itu.

Ditebak, mengapa terlalu sukar melihat kemunculan dirinya dalam mana-mana persembahan besar, jawapa Faizal mudah. Aktiviti sebegitu bukan keutamaannya sebagai penyanyi sejak dahulu.

“Jika tanya penyanyi lain, mereka sentiasa ingin mengadakan konsert tetapi saya lain. Orang lain mungkin, setiap minggu atau bulan ingin adakan konsert.

“Mungkin lebih banyak konsert, lagi mereka suka tetapi semua itu sangat kontra dengan pendirian saya. Bagi saya, 17 tahun sekali cukuplah,” jawab pelantun lagu Ragaman itu penuh makna.

BERASAKAN diri tidak lagi lincah seperti dakhulu, faktor stamina menjadi antara sebab utama Faizal kerap menangguhkan hasrat untuk mengadakan konsert.

Gimik

Terkenal sebagai penyanyi yang kerap tampil dengan gimik persembahan kontroversi sebelum ini, dia bagaimanapun tidak merancang melakukan adegan ‘berani mati’ sebegitu lagi atas faktor usia.

“Stamina tidak lincah seperti dahulu. Pada usia sekarang, saya harus ingatkan diri bahawa sudah ada anak dan itu satu faktor penting.

“Saya tak mahu anak-anak fikir negatif mengenai persembahan bapa mereka. Zaman ‘poyo’ saya pun sudah berlalu lama,” kongsinya yang bakal mendendangkan lebih 20 buah lagu pada konsert solonya kelak.

Enggan pembeli tiket meletakkan ekspektasi terlalu tinggi, pelantun Santai itu hanya menjanjikan seberkas memori istimewa untuk dibawa pulang penonton.

Katanya, dia ingin semua yang hadir kelak dapat bersama-sama melalui terowong masa yang dirasainya sepanjang 17 tahun sebagai anak seni.

“Pada usia sekarang, memang sudah lama tidak ke mana-mana konsert. Jadi, saya tidak tahu bagaimana suasana konsert zaman sekarang terutama selepas tempoh pandemik.

“Namun, berbekalkan pengalaman dan revolusi selama 17 tahun, insya-Allah saya ada sesuatu yang boleh dikongsi kepada orang ramai.

“Saya yakin untuk mereka yang sanggup melabur pada harga tiket sebegitu, mereka akan pulang dengan pengalaman dan sebagai insan lebih baik,” ujarnya seraya mendedahkan tidak akan berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi pada konsert nanti.

FAIZAL mengakui harga tiket konsertnya yang dikatakan mahal memberi tekanan kerana ramai bakal meletakkan ekspektasi tinggi terhadap persembahannya kelak. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN