fbpx
Pemaju dijangka akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan rumah mampu milik dalam mendepani situasi pasaran yang mencabar. - Gambar hiasan

Sime Darby Property, LPHS anjur kempen pertama jualan rumah berharga RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menganjurkan kempen pemilihan rumah mampu milik bagi projek terbaharunya, Serasi Residences di Putra Heigths.

Acara jualan bagi projek servis apartmen mampu milik (SAMM) yang menawarkan  RM250,000 dan RM270,000 itu adalah kempen jualan yang pertama seumpamanya dianjurkan oleh LPHS dengan mana-mana pemaju hartanah di negara ini.

Pelbagai perkhidmatan komprehensif ditawarkan kepada pembeli rumah kali pertama pada majlis berkenaan termasuk semakan dokumen, pengesahan kelayakan, proses perundingan pinjaman dan menandatangani Perjanjian Jual Beli yang mempercepatkan proses kelulusan pembeli dan menjamin proses pembelian rumah yang lancar.

Proses pengundian juga telah diperkenalkan untuk mereka yang memenuhi kriteria kelayakan untuk membolehkan pembeli mendapatkan rumah baru mereka dengan kadar segera.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, sebanyak 188 unit SAMM telah ditempah menerusi sistem tempahan online dan pencapaian ini menandakan kejayaan pengundian massa digital pertama yang dilaksanakan.

“Kerjasama erat dengan LPHS terbukti bermanfaat kerana ia memudahkan kelulusan segera unit SAMM untuk 70 pelanggan yang hadir. 

“Selain itu, 103 unit Pasaran Terbuka Tower One juga ditempah sewaktu Hari Terbuka, menampakkan lagi tarikan Serasi Residences,” jelasnya.

Serasi Residences merupakan koleksi servis apartmen pegangan bebas yang merangkumi 1,428unit. Rumah SAMM yang bersaiz 550 kaki persegi dijual di harga tetap terkawal bernilai RM250,000, yang ditentukan oleh LPHS.

Pembangunan itu terletak secara strategik di Putra Heights Sentral (PHS) yang merupakan Pembangunan Berorientasikan Transit  yang pertama Sime Darby Property bagi memenuhi permintaan tinggi untuk perumahan berdekatan dengan hab-hab pengangkutan awam yang utama.

“Kami berhasrat untuk merapatkan jurang pemilikan rumah di kalangan pembeli rumah berpendapatan sederhana dengan menawarkan rumah mampu milik di lokasi-lokasi utama dengan harga yang menarik.

“Kami percaya inisiatif seperti ini melengkapkan evolusi pesat perbandaran dan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang,” jelasnya.

Serasi Residences memenuhi keperluan gaya hidup penduduknya dengan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 400 meter ke stesen LRT Putra Heights, yang merangkumi laluan Kelana Jaya dan Sri Petaling. 

Pembangunan ini  juga mudah diakses dari beberapa lebuhraya utama termasuk Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh raya Damansara-Puchong, Lebuhraya Shah Alam and Lebuh raya Baru Lembah Klang. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN