fbpx

NASA siar gambar petir di Planet Musytari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cahaya petir berwarna hijau dapat dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari. - NASA/JPL-Caltech/SwRI/MSS

WASHINGTON –  Sebuah kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakam imej petir yang menggerunkan di Planet Musytari, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Dalam imej tersebut, petir berwarna hijau dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari.

Saintis-saintis masih cuba memahami banyak perkara mengenai Musytari iaitu planet terbesar dalam sistem suria, termasuk ribut besar  dan kejadian kilat di planet  terdiri daripada gas itu.

Petir berasal dari awan air di Bumi, dan kebanyakan panahan petir berlaku berhampiran khatulistiwa. 

Namun, untuk Musytari, panahan petir muncul daripada awan yang merupakan hasil daripada amonia dan air, dan ia berlaku paling kerap berhampiran kutub planet.

Kapal angkasa NASA, Juno yang tiba untuk memantau Musytari serta bulan-bulannya pada 2016,  merakam fenomena tersebut semasa penerbangan jarak dekat kali ke-31 pada 30 Disember 2020.

Misi tersebut berada pada lokasi kira-kira 32,000 kilometer di atas puncak awan apabila imej itu dirakam.

Imej sebenar Planet Musytari dan bulan-bulannya yang dirakam oleh JunoCam dimuat naik secara online dan boleh diambil oleh sesiapa sahaja untuk diproses. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI