fbpx
Penduduk tempatan menyelongkar 'gunung' pakaian di Gurun Atacama, Chile untuk mencari baju-baju yang masih cantik dan elok dipakai. Gunung pakaian tersebut semakin membesar sehingga terlihat jelas dalam imej yang dirakam satelit di ruang angkasa.

Gurun Chile jadi hab pembuangan pakaian dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMINAT fesyen semestinya tahu tentang industri fast fashion yang menyediakan pelbagai pilihan produk fesyen rekaan terkini pada harga murah dengan fabrik berkualiti rendah.

Begitu pun, tindakan pengguna membeli daripada pengeluar pakaian fesyen pantas sebenarnya memacu permintaan terhadap produk tersebut yang seterusnya akan dihasilkan dengan jumlah yang banyak.

Lambakan bekalan pakaian daripada label fesyen pantas ini juga akan menjadi ketinggalan zaman dengan pantas, sekali gus tidak terjual lalu dicampak di sebuah gurun di Chile sehingga membentuk satu gunung pakaian belum dipakai. Lebih buruk lagi, gunung pakaian di Gurun Atacama itu semakin lama menjadi semakin besar, sehingga imejnya boleh dilihat dengan jelas dari satelit di ruang angkasa.

Aplikasi imej satelit SkyFi pada 10 Mei lalu menunjukkan sekeping foto beresolusi tinggi yang menunjukkan sisa pakaian tersebut yang memenuhi sebahagian ruang di gurun itu.

“Imej beresolusi 50 sentimeter itu yang diklasifikasikan sebagai Imej Beresolusi Tinggi diambil dengan menggunakan satelit.

“Ia jelas menunjukkan betapa besarnya saiz gunung pakaian yang terhasil daripada longgokan pakaian yang dibuang di situ,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pembangun aplikasi tersebut.

Pakaian-pakaian tersebut tidak boleh dihantar ke tapak pelupusan sampah kerana ia tidak boleh dilupuskan serta dipenuhi dengan bahan kimia.

Menurut AFP, pakaian-pakaian tersebut dipercayai dibuat di Bangladesh atau China sebelum dihantar ke pasar raya-pasar raya di benua Amerika, Eropah dan serata Asia. Pakaian-pakaian yang tidak terjual kemudian dilonggokkan di Chile.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Aljazeera pada 2021, Chile menjadi hab kepada pembuangan pakaian tidak terjual yang dihasilkan daripada indusri fesyen pantas.

Antara tahun 2000 hingga 2014, pengeluaran pakaian meningkat dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

imej dari satelit yang jelas menunjukkan ‘tompokan’ pakaian di sekitar Gurun Atacama.

Kewujudan fesyen pantas bermatlamat memberikan pengguna lebih banyak pilihan pakaian harga berpatutan, namun industri itu menyumbang pengeluaran karbon dunia antara dua hingga lapan peratus.

Menurut laporan itu, kebanyakan kemudahan atau pengeluar pakaian fesyen pantas terletak di Asia Selatan atau Afrika dan lambakan pakaian yang banyak menyebabkan negara-negara tersebut tidak mampu melupuskannya, lalu ditimbunkan di Gurun Atacama.

Senario atau pemandangan yang dilihat di Chile itu pernah dilabel sebagai ‘tompokan sampah industri fesyen’ oleh sebuah dokumentari online.

Seorang anak kelahiran Chile yang juga pengarah sebuah syarikat perundingan alam sekitar di negara itu, Franklin Zapeda mengakui terkejut dengan apa yang berlaku di Gurun Atacama.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa kami (Chile) telah menjadi lokasi pembuangan sampah yang dihasilkan oleh negara-negara membangun,” ujarnya.

Setiap tahun, katanya, negara itu menerima sekitar 59,000 tan pakaian untuk diedarkan ke negara-negara Amerika Selatan yang lain. Namun, sekitar 39,000 tan daripadanya tidak berjaya dijual yang seterusnya dibuang di Gurun Atacama.

Menurutnya, selain menjadi lokasi pengumpulan sampah pakaian tak terjual dari pasar raya-pasar raya dari benua Amerika, Gurun Atacama juga merupakan lokasi pembuangan pakaian terpakai atau tak terjual dari beberapa lokasi di Asia dan Eropah.

Walaupun longgokan pakaian itu mengganggu pandangan, namun ia menarik perhatian warga tempatan atau orang luar yang datang ke situ untuk mengambil pakaian-pakaian itu sama ada untuk dipakai sendiri atau dijual.

Malah, seorang gelandangan wanita bernama Genesis berkata, dia pernah datang ke kawasan tersebut untuk mencari beberapa pakaian yang boleh dipakainya.

“Bagi saya, semua pakaian yang ada di situ berguna buat saya dan saya bersyukur kerana menjumpai kawasan itu,” katanya.

JENAMA-JENAMA fesyen pantas menghasilkan pakaian dengan gaya terkini pada harga murah.

Sebagai usaha menangani masalah pencemaran tersebut, satu yayasan pemikir dari Britain yang juga merupakan yayasan di bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) iaitu Yayasan The Ellen

McArthur kini sedang menjalankan satu inisiatif menuju dunia sifar buangan pakaian.

Yayasan itu menjalin kerjasama dengan penyair terkenal dari Kenya, Beatrice Kariuki untuk menjelaskan tentang bagaimana pengguna boleh melakukan satu perubahan yang nyata terhadap alam sekitar.

“Kita perlu memperbanyak penggunaan semula barang-barangan ini dan menghasilkan sesuatu yang kekal lama,” kata Kariuki.

Begitu pun, kitar semula tidak seharusnya menjadi satu-satu cara untuk mengurangkan longgokan pakaian terpakai mahupun tak terjual.

Kebanyakan kes lambakan pakaian terbuang bermula daripada rekaannya.

Menurutnya, dengan membuat rekaan produk yang mampu tahan lama akan membantu mengurangkan pembuangan pakaian dengan ketara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN