fbpx

Bayi baru lahir dibuang tanpa seurat benang di kawasan parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bayi lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pagi tadi.

KAJANG – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan ditinggalkan dalam keadaan tertiarap tanpa seurat benang di kawasan parkir sebuah pangsapuri, Balakong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun kira-kira pukul 7.07 pagi tadi.

Jelas beliau, bayi lelaki tersebut ditemui dalam keadaan terbaring bersama uri tanpa sebarang pakaian di tepi jalan di hadapan kawasan tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan.

“Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi yang dipercayai baharu sahaja dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat dan uri.

“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan awal kerana berada dalam keadaan tenat,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.35 pagi.

“Mayat bayi tersebut diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk tujuan post-mortem (bedah siasat). Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi ataupun ibu bayi tersebut, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI