fbpx

China bakal hilang 13,500 jutawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPAL-KAPAL belayar di Sungai Huangpu dengan berlatarbelakangkan daerah kewangan Shanghai pada 24 Februari 2022. - AFP

LONDON – China bakal menyaksikan penghijrahan besar-besaran golongan jutawan pada tahun ini, dengan 13,500 daripadanya diramal meninggalkan negara berkenaan, demikian menurut satu laporan baharu dikeluarkan firma Henley & Partners.

Laman berita CNBC News melaporkan, data penyelidikan syarikat perunding migrasi pelaburan yang berpangkalan di London itu menunjukkan seramai 10,800 individu dengan nilai kekayaan tinggi meninggalkan China pada 2022.

Meskipun ia bukan perkara baharu bagi negara itu yang telah menyaksikan penghijrahan golongan jutawan sejak 10 tahun lalu, angka yang dicatatkan adalah tinggi  setiap tahun dalam tempoh sama.

Ketua penyelidikan daripada firma risikan kekayaan global, Andrew Amoils, yang turut terlibat dalam kajian itu berkata, keadaan tersebut telah menyebabkan pertumbuhan kekayaan umum dalam negara itu menjadi perlahan.

“Penghijrahan jutawan dari China baru-baru ini lebih ramai berbanding kebiasaan. Ekonomi China berkembang dengan kukuh sejak 2000 hingga 2017, namun pertumbuhan kekayaan dan jutawan di negara itu semakin merosot sejak itu (apabila diukur dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS)),” katanya.

Tambah kajian tersebut, golongan jutawan di China mungkin cuba mengelak daripada peraturan ketat kawal selia dengan cara berpindah ke negara lain.

Pada pertengah 2021 contohnya, Presiden Xi Jinping mengumumkan satu kempen yang bertujuan menyokong ‘kemakmuran bersama’ dengan menyasarkan tahap ketidaksamaan pendapatan negara yang tinggi.

Pengumuman itu dibuat di samping tindakan keras kawal selia yang dilanjutkan terhadap beberapa syarikat swasta terbesar di negara itu. 

Selain itu, penamatan perintah berkurung juga mungkin menyebabkan golongan jutawan menilai potensi negara-negara lain untuk berpindah ketika mereka melakukan perjalanan. 

Sementara itu, kajian Henley & Partners tersebut meletakkan India di tempat kedua dengan jangkaan ia akan kehilangan 6,500 jutawan pada tahun ini, kurang 1,000 daripada jumlah dicatatkan tahun lepas.

Namun, kajian tersebut menegaskan bahawa penghijrahan jutawan dari India bukan kebimbangan utama kerana negara itu menghasilkan lebih ramai jutawan berbanding mereka yang meninggalkannya.

Selain itu, Britain berada di tempat ketiga dalam senarai tersebut apabila 3,200 jutawan diramal berhijrah dari negara itu tahun ini. Ia didorong oleh peristiwa Brexit yang menjadikan negara itu ‘kurang mesra’ dalam menawarkan kemudahan yang bagus untuk golongan berkenaan.

Russia berada di tempat keempat dalam senarai itu dengan jangkaan 3,000 jutawan bakal meninggalkan negara itu tahun ini akibat ketidaktentuan ekonomi berikutan perang di Ukraine.

Secara keseluruhan, Henley & Partners meramalkan 122,000 jutawan akan berhijrah ke destinasi-destinasi baharu tahun ini, meningkat berbanding 84,000 pada tahun lepas.

Dalam pada itu, bagi kategori negara yang menjadi destinasi pilihan golongan berkenaan, Australia diramal mengatasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun ini dengan bakal menerima kira-kira 5,200 jutawan.

UAE berada di tempat kedua dengan jangkaan menerima 4,500 jutawan, dan diikuti oleh Singapura sebanyak 3,200 orang, AS seramai 2,100 orang, Switzerland (1,800) dan Kanada (1,600).

“Kita menyaksikan pertumbuhan kukuh bagi penghijrahan golongan jutawan dalam dekad lepas. Bagi tahun 2023 dan 2024, angka keseluruhan secara global dijangka masing-masing mencecah 122,000 dan 128,000 orang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Juerg Steffen. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI