fbpx
Antara koleksi ‘photocard’ kumpulan K-Pop yang dikumpul oleh peminat di negara ini.

Demi K-Pop sanggup berhabis ribuan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengaruh kuat muzik dari Korea Selatan menyebabkan ada rakyat negara ini yang fanatik atau die-hard fan sanggup berhabis sehingga RM10,000 setahun untuk menunjukkan rasa cinta kepada idola mereka.

Bagi peminat artis Korea atau K-Pop, wang bukan isu besar, asalkan mereka dapat mengumpul barangan artis kesayangan seperti album, cawan, pakaian, kasut, beg, tiket konsert dan lain-lain aksesori.

Rata-rata mereka berbelanja sekurang-kurangnya RM500 sebulan atau RM10,000 setahun untuk membeli produk selebriti kesayangan.
Terdapat empat kumpulan artis terkenal Korea yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia terutama orang muda iaitu Blackpink, Twice, BTS dan Treasure.

Pelajar universiti, Liyana Ramli, 22, berkata, dia mula terjebak dengan kumpulan Blackpink pada 2017 ketika usia 16 tahun.

“Sewaktu di bangku sekolah, saya sanggup tidak berbelanja di kantin kerana mahu simpan RM7. Untuk elak lapar, saya bawa bekal roti atau makan di rumah.

“Ketika itu saya memang gila membeli ‘photocard’ dan ‘keychain’ gambar Lisa, Jennie, Rose dan Jisoo. Saya kumpul sedikit demi sedikit sampai dapat membeli album mini Blackpink berharga RM200 pada 2017.

Liyana juga pernah mem­belanjakan RM6,000 untuk ke Bangkok, Thailand pada 27 dan 28 Mei lalu bagi menyaksikan konsert artis kesayangannya sempena jelajah Born Pink World Tour Encore di sana.

Dia meminati kumpulan itu kerana ahli-ahlinya cantik selain lagu -lagunya sedap didengar.

“Saya pergi ke Bangkok sebab terlepas konsert di Malaysia, bagi saya ia satu pengorbanan yang berbaloi,” kongsinya.

Berkongsi pengalaman sama, pekerja swasta dikenali sebagai Farah Sarah, 21, berkata, dia membelanjakan hampir RM6,000 setahun untuk ke konsert dan membeli barangan kumpulan K-Pop yang diminatinya.

“Selain untuk kepuasan diri, kita akan berasa ‘dekat’ dengan artis tersebut. Setakat ini, saya sudah pergi ke tiga konsert artis K-Pop dan menghabiskan hampir RM3,000 untuk membeli tiket.

“Jumlah itu tidak termasuk membeli barangan seperti ‘hoo­die’ berharga ratusan ringgit, album, koleksi foto, kalendar, cawan dan banyak lagi.

“Sebagai peminat fanatik, memang saya membeli hampir semua barangan artis K-Pop, le­bih-lebih lagi jika melibatkan ahli kumpulan diminati,” katanya.

Sarah yang mula meminati artis K-Pop sejak 2017 menjelaskan, kos penghantaran yang tinggi dari Korea menyebabkan har­ganya mahal.

“Sekarang mudah sebab ada platform e-dagang,” katanya.

Sementara itu, peminat K-Pop dikenali sebagai Hannan, 25, berkata, dia berhabis lebih RM500 setiap bulan untuk membeli barangan Winner dan NCT.

Hanan pernah ke Korea Selatan pada 2019 untuk membeli barangan selebriti K-Pop pada harga rendah.

“Saya mula kumpul sejak 2014. Ada yang dipesan daripada rakan. Saya anggap pembelian ini sebagai penghargaan selepas penat bekerja,” katanya.

Minatnya terhadap artis Korea tak pernah padam dan biasanya barang yang dibeli boleh guna seperti pakaian.

“Saya juga membeli barangan yang dihasilkan peminat K-Pop seperti tudung, beg dan rantai kunci,” ujarnya.

Baru-baru ini, Hannan mem­belanjakan RM1,500 untuk ke konsert artis Korea di negara ini.

“Hendak buat macam mana, memang dah minat saya, tidak kisah orang kutuk fanatik sebab mereka tidak kenal saya. Bagi saya, ini merupakan salah satu cara untuk memuaskan diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN