fbpx

Pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohamad lari ke New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahmad

MELAKA – Pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad yang mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai Tuhan dikesan cuba melarikan diri ke New Zealand secara beramai-ramai dipercayai untuk mengikuti pengasas itu yang kini berada di negara berkenaan.

Perkara itu terbongkar selepas seorang pengikut berusia 38 tahun berjaya ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 8.30 malam di kediamannya di Jasin, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil soal siasat dijalankan, lelaki tersebut mendakwa dijadualkan akan berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya pada 13 Jun lalu.

“Ketika serbuan dibuat, keluarga ini sedang bersiap sedia untuk berangkat ke New Zealand dipercayai demi bersama (mengikut) pengasas ajaran sesat itu yang telahpun berada di sana.

“Siasatan lanjut turut mengesyaki terdapat pengikut-pengikut Suhaini Bin Mohamad di negeri lain yang akan berhijrah ke sana,”katanya pada sidang akhbar Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambahnya, dianggarkan sekurang-kurangnya terdapat seramai 20 pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohamad di negeri ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum ini satu kertas siasatan telahpun dibuka pada 20 Mac lalu susulan klip video tular dua lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan Baginda adalah Allah.

“Pengasas ajaran itu berasal di Melaka dan aktiviti ini dikesan aktif sejak tahun lepas lagi. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa ajaran Suhaini Bin Mohamad atau dipanggil Si Hulk menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

“Kita telah meminta bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol untuk mengesan lokasi pengasas itu bagi tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, individu yang dikesan terlibat dengan ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Media sebelum ini melaporkan, ajaran diasaskan Suhaini Bin Mohamad itu turut membuat penipuan terhadap produk-produk dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya.

Suhaini mendakwa air Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup hingga hari kiamat, manakala botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI