fbpx

Mahkamah: Pembantu Laut terima suapan didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaimi (tengah) didenda RM7,000 atas 10 pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Seorang Pembantu Laut Pejabat Perikanan Negeri Perlis didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 antara penghujung Disember 2018 hingga pertengahan 2019.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Suhaimi Ahmad, 44, membuat pengakuan bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan dan tertuduh membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang RM200 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki berusia 57 tahun melalui seorang lagi individu berusia 45 tahun pada 2 Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan pula, Suhaimi didakwa menerima wang dalam jumlah sama untuk setiap pertuduhan dengan tiada balasan daripada seorang individu lain berusia 58 tahun, antara 21 Disember 2018 hingga 17 Jun 2019.

Bagi pertuduhan ke-10, Suhaimi didakwa menerima wang berjumlah RM300 dengan tiada balasan daripada seorang individu pada 26 Jun 2019.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Kompleks Central Square, Sungai Petani dekat sini.

Tertuduh didakwa sememangnya mengetahui bahawa pemberi wang kepadanya itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya selaku Pembantu Laut di Pejabat Perikanan Perlis manakala individu terlibat merupakan pemilik bot yang beroperasi di Kuala Kedah.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam kelihatan menangis teresak-esak ketika semua 10 pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Terdahulu dalam sesi rayuannya, tertuduh memohon agar dikenakan hukuman minimum kerana masih perlu menanggung lima anak manakala isterinya pula tidak bekerja.

Nur Atiqah yang bangun selepas itu berhujah, faktor kepentingan awam merupakan prinsip pertama dan utama yang perlu dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, mahkamah tidak boleh terlalu bersimpati dengan rayuan seperti kesusahan keluarga dan sebagainya kerana rasuah merupakan jenayah serius yang kesannya membebankan masyarakat serta negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI