PETALING JAYA – Kehidupan seorang wanita berusia 50 tahun serba-serbi dalam kepayahan apabila dinafikan kewarganegaraan selepas kedua-dua ibu bapa kandungnya didakwa warganegara Malaysia menghilangkan diri enam bulan selepas dia dilahirkan.
Dipercayai dilahirkan di sebuah rumah di Ayer tawar, Manjung, Perak, Chitra Krishnan memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa kandungnya tidak pernah ditemui walaupun pencarian selama lebih 35 tahun.
Kata Chitra, dia yang dibesarkan di sebuah perkampungan estet telah dijaga neneknya sejak kecil sebelum berkahwin dengan suaminya, S. Jagatheesan, 55.
“Saya lahir 16 Mei 1973 di sebuah rumah seperti yang diberitahu oleh nenek. Ibu bapa saya sudah lari sejak usia enam bulan. Sehingga sekarang saya tidak pernah jumpa dan tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau mati.
“Oleh itu, saya tidak ada sebarang dokumen pengenalan diri mahupun sijil lahir. Pada usia 15 tahun, saya mula cari ibu bapa saya di estet lain dan merata tempat tetapi tidak berjaya.
“Disebabkan itu, saya tidak pernah bersekolah atau bekerja dan keadaan itu berlarutan sehingga saya berkahwin dengan suami saya yang berstatus warganegara pada Oktober 1973,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berdasarkan rekod milik Chitra, dia tidak pernah berjaya untuk mengubah statusnya kepada warganegara melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 1993.
Kosmo! semalam melaporkan ramai penduduk di negara ini tidak mempunyai kewarganegaraan disebabkan tiada sijil lahir dan ibu bapa yang menghilangkan diri.
Chitra yang dikurniakan dua cahaya mata iaitu Premlatha, 22, dan adiknya Aruvin, 14, bertambah sedih apabila anak-anaknya turut dikategorikan sebagai bukan warganegara.
“Dua-dua anak saya dilahirkan di Hospital Klang dan anak pertama saya pernah diberi surat beranak (warna hijau). Tetapi satu hari, surat tersebut secara tidak sengaja telah terbakar dan pihak JPN mengeluarkan surat beranak baharu (warna merah) kerana mengikut status ibu,” jelasnya.
Chitra berkata, hidupnya seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila suaminya berubah menjadi orang kelainan upaya kerana mengalami kemalangan jalan raya pada 2009, sekali gus tidak lagi berupaya bekerja untuk menyara keluarga.
Tambahnya, dia juga tiada hak untuk mengundi serta keupayaan untuk bergerak secara bebas biarpun berada di dalam negara sendiri.
Dia berharap, status dirinya sebagai bukan warganegara dapat diubah memandangkan dia dilahirkan di Malaysia tetapi telah diabaikan oleh kedua-dua ibu bapanya yang tidak mahu bertanggungjawab.
“Nasib anak-anak juga merisaukan saya apabila mereka juga bukan warganegara walaupun dilahirkan di sini,” jelasnya.














