KUANTAN – “Saya tidak berdendam, cuma sekarang bukan masanya untuk memaafkan.”
Demikian kata Siti Nursyazana Zulkifli, 23, berhubung tindakan pemandu lori tangki yang menyebabkan kakaknya, Siti Mazurah, 30, dan adiknya, Siti Nur Alia Saffiyah, 18, maut dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat simpang Felda Lepar Hilir 1 di sini kelmarin.
Dua beradik itu yang menaiki kereta jenis Proton Wira maut di lokasi kejadian pada pukul 11 malam.
Cerita Nursyazana, pemandu lori berusia 31 tahun datang berjumpanya dan meminta maaf sewaktu dia sedang mengisi borang di balai polis.
“Dia minta maaf, bila ditanya adakah dia pemandu lori (terlibat dalam nahas). Dia minta maaf sekali lagi kepada saya.
“Saya tidak berdendam atau marah kerana dia ada anak dan isteri, lagipun dia tidak lari dan memberi kerjasama kepada polis. Cuma hendak memaafkan itu bukan sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Lepar Hilir 1 semalam.
Menurutnya, dia yang menerima panggilan daripada kakaknya pada mulanya menyangka ia kemalangan biasa, namun mula berasa tidak sedap hati selepas melihat gambar keadaan kereta remuk yang dikongsikan.
“Sampai sahaja di lokasi nahas, saya lihat satu jenazah sudah dikeluarkan, manakala satu lagi tersepit dalam kereta,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Zaimah Yunus@Hasbullah, 53, berkata, Siti Mazurah banyak berbelanja untuk ahli keluarga ketika bermalam selama seminggu di rumahnya berikutan suaminya bekerja di luar kawasan.
“Wawa (Siti Mazurah) sangat mesra dan suka berbelanja. Cuma dalam sebulan ini, dia banyak berbelanja untuk keluarga, malah buat pertama kali dia belanja semua rakan termasuk ketua di tempat kerja.
“Jika diikutkan semalam (kelmarin) dia jumpa dengan suaminya selepas pulang dari kerja, namun tidak sempat,” katanya.
Bercerita mengenai Siti Nur Alia Saffiyah, wanita itu memberitahu, mangsa baru bekerja sebagai jurujual pasar raya selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia minggu lalu.
“Kebiasaannya di pergi kerja sendiri, cuma semalam (kelmarin) kakaknya hantar sebab dia mahu menggunakan kereta untuk membeli barang perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu pula berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Proton Wira dinaiki dua beradik tersebut.














