SAAT terbuka tirai dan lampu pentas dinyalakan, melihat keindahan busana yang melengkapkan seni persembahan memberi kepuasan buat diri wanita itu.
Hasil idea yang digarap pada sekeping kertas akhirnya terwujud hasil usaha bersama pasukan busana yang sehati sejiwa mahu menjayakan sebuah pementasan.
Menurut wanita yang juga pereka busana pementasan, Sarina Azizan, 43, tanpa kerjasama daripada pasukan, merealisasikan busana untuk sesebuah pementasan adalah sesuatu yang tidak mungkin.
Katanya, tidak ramai tahu kerja keras di balik tabir penghasilan busana untuk sebuah pementasan yang jauh berbeza daripada rekaan fesyen komersial mahupun rekaan bagi drama televisyen atau filem.
“Pereka busana pentas dan persembahan merupakan salah satu daripada elemen penting dalam sebuah produksi pementasan apabila mereka adalah unit kreatif yang menghidupkan setiap karakter menerusi pakaian.
“Pakaian ini juga direka khusus untuk setiap watak atau tema persembahan yang diputuskan oleh pengurusan produksi dan idea daripada pengarah mahupun koreografer,” katanya ketika ditemui K2 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya yang juga merupakan pereka busana di arena pementasan gah Malaysia, Istana Budaya, dari segi tugas, dia dan pasukan bertanggungjawab dari awal perancangan hingga pada hari pementasan itu berlangsung.
Berkongsi modus operandi tugasan, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, peringkat awal rekaan busana bermula dengan perbincangan bersama tenaga produksi tentang pementasan dan tema yang diketengahkan.
Kemudian, perbincangan akan diteruskan bersama pengarah atau koreografer yang memberikan idea tentang visual digambarkan mereka.
Selepas itu, Sarina yang berpengalaman selama 19 tahun dalam rekaan busana pentas akan membahagi tugas kepada rakan pereka yang lain sekali gus memulakan lakaran idea yang telah dibincangkan.
“Lakaran yang telah siap akan dibentangkan kepada produksi untuk sebarang komen dan penambahbaikan, kemudian pembetulan akan dilakukan hingga dipersetujui oleh pihak produksi.
“Selepas lakaran dipersetujui, baru dilakukan proses ukur suai badan dengan para pemain pentas sebelum ke proses pembuatan,” ujar graduan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Kongsinya yang sedang mengusahakan busana bagi pementasan Sulur Nakasari yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 28 dan 29 Julai depan, dia turut berganding bahu bersama tiga pereka lain iaitu, Fetri Hani Badrol, 43, Hafizah Abdul Khadir, 43, dan Suriani Bohari, 43.
Hafizah berkata, dalam proses rekaan busana pentas terdapat banyak elemen yang perlu diambil perhatian terutama tentang kesesuaian busana untuk setiap watak atau tema persembahan.
Mengambil contoh dari pementasan Sulur Nakasari, terdapat banyak busana yang perlu dihasilkan mengikut segmen tarian yang juga miliki tema berbeza.
“Dalam persembahan pentas seperti tarian, setiap pakaian yang dihasilkan perlu seiring tema dan pada masa sama membantu menceriakan serta menjadikan suatu persembahan nampak lebih hidup.

“Sebagai contoh ada segmen tarian joget yang mana pakaian dihasilkan adalah kurung dan baju Melayu yang diterapkan dengan elemen warna cerah dan ceria,” kongsinya.
Tambahnya, bagi segmen yang melibatkan pakaian tradisi seperti tarian budaya Orang Asli atau Bumiputera Sarawak, dia perlu mengekalkan imej asal tetapi menggunakan fabrik yang dapat menonjolkan pemain di pentas.
Bagi pementasan teater pula katanya, pakaian perlu mengikut tema yang ditetapkan untuk setiap adegan.
Kongsi Hafizah lagi, untuk teater, pakaian yang dihasilkan perlu mengikut watak dan adegan, namun menonjolkan watak utama.
“Sebagai contoh, jika adegan melibatkan era 70-an, bagi watak utama pakaian yang dihasilkan perlu lebih menyerlah dari segi warna berbanding watak sampingan yang akan diberikan busana dengan rona tanah.
“Ini bertujuan agar watak utama tidak tenggelam di atas pentas terutama sekiranya adegan itu melibatkan ramai pelakon di atas pentas,” ujarnya.
Tambahnya lagi pemilihan warna juga biasanya akan dilakukan mengikut persetujuan bersama pengarah atau koreografer sebuah pementasan.
Dalam pada itu, Fetri Hani berkongsi satu lagi elemen yang perlu diutamakan iaitu praktikal dan keselesaan pemakai.
Ini kerana katanya, dalam pementasan, praktikal itu penting memandangkan setiap pertukaran pakaian hanya memakan masa singkat di belakang pentas.
“Kita perlu reka pakaian itu praktikal untuk dibuka dan dipasang supaya pemegang watak atau pemeran pentas boleh menukar busana ke set yang lain.
“Antara elemen jahitan yang sering dibuat pada pakaian ialah zip belakang dan penggunaan velkro yang sangat praktikal untuk busana pentas,” katanya.
Tambahnya, bagi keselesaan pula, pakaian biasanya akan mengambil kira pergerakan dan aksi yang bakal dilakukan pemeran di atas pentas.
Katanya, jika banyak melakukan aksi silat, pakaian yang direka akan lebih longgar dengan fabrik lebih tahan lasak.
“Pemilihan fabrik juga penting kerana perlu melengkapi pencahayaan di atas pentas, oleh itu kita sering menggunakan fabrik seperti satin, baldu atau kapas yang bersesuaian mengikut tema.
“Bagaimanapun, tiap fabrik yang dipilih perlu melengkapi antara satu watak dengan yang lain supaya tidak ada kejanggalan di atas pentas,” ujarnya yang menyifatkan empat bulan adalah tempoh ideal untuk proses menghasilkan busana pementasan.
Suriani pula mengatakan tugas mereka tidak terhenti apabila pakaian siap tetapi juga semasa persembahan di mana di balik tabir, mereka juga perlu memastikan busana-busana dipakai dengan betul bersama aksesori bersesuaian.
“Bagaimanapun, bila busana telah menaiki pentas itu merupakan momen yang tidak dapat digambarkan betapa penat lelah kami berhasil,” ungkapnya.














