MALAM itu, setelah tamat rutin bekerja sebagai peniaga pasar malam, Mohamad Zulkarnain Mustafa, 27, mencapai kunci motosikal miliknya dan bersedia untuk pulang ke rumah.
Dia yang merupakan peniaga di sebuah tapak pasar malam di Chenderong Balai, Perak menunggang motosikalnya seperti biasa, sebelum kenderaan itu tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh satu lagi motosikal lain.
Apabila tersedar, Mohamad Zulkarnain mendapati dirinya sedang berada di sebuah hospital.
Kemalangan tersebut telah mengubah hidup Mohamad Zulkarnain dalam sekelip mata, apabila dia lumpuh separuh badan.
Kini, biarpun sudah lapan tahun berlalu, kejadian tersebut masih segar di ingatan Mohamad Zulkarnain.
“Kejadian berlaku pada tahun 2015 dan ketika itu saya baru berusia 19 tahun.
“Ia berlaku dengan amat pantas dan sejujurnya saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima keadaan saya pada ketika itu,” katanya kepada K2.
Mohamad Zulkarnain berkata, sebaik sahaja dia dimaklumkan tentang keadaannya yang lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah, dia berasa dunianya gelap-gelita. Sejak itu, kehidupannya hanya di atas katil kerana dia juga tidak berupaya untuk duduk.
“Ketika itu, saya akui ada terdetik rasa jika saya hidup pun ia seolah-olah tidak berguna.
“Saya mengambil masa selama setahun untuk benar-benar menerima keadaan diri ini dan akur dengan takdir saya,” ujarnya yang kini menetap bersama adik dan kedua-dua ibu bapanya di Labu Kubung, Chenderong Balai.

Malah, kemalangan tersebut juga memberi kesan kepada emosi Mohamad Zulkarnain apabila dia menjadi mudah marah, biarpun atas hal-hal kecil.
“Saya masih ingat lagi selepas kemalangan itu dan mengetahui saya lumpuh separuh badan, saya menjadi seorang yang pemarah dan sering melemparkan barang.
“Emosi saya terganggu dan menyebabkan perubahan sikap sedemikian. Namun, lama-kelamaan, sikap pemarah itu beransur-ansur hilang,” cerita Mohamad Zulkarnain yang masih bujang.
Enggan kekurangannya itu terus menjadikan dirinya lemah, dia mula cuba-cuba membetulkan enjin motosikal bagi mengisi masa lapang.
Ternyata, dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai mekanik semasa berusia 16 tahun masih mempunyai kebolehan membaiki enjin motosikal dan beberapa kerosakan lain pada kenderaan itu.
“Semangat saya pulih sedikit demi sedikit dan saya pun mula mengambil upah membaiki kenderaan yang dihantar ke rumah saya oleh penduduk berdekatan.
“Syukur, ia sedikit sebanyak boleh membantu saya meringankan beban keluarga,” ujarnya.

Mohamad Zulkarnain akan melakukan kerja-kerja mekanik dengan hanya menggunakan kedua-dua belah tangannya dari atas katil.
Katil mudah alihnya itu juga akan ditolak ke bahagian luar rumahnya dan ruangan itulah yang menjadi bengkel kerja Mohamad Zulkarnain.
Akui Mohamad Zulkarnain, biarpun masih mampu menggunakan kedua-dua belah tangannya dengan baik, namun dia berkata, kemalangan itu turut menjadikan pergerakannya terbatas.
“Jika sewaktu saya masih sihat dan sempurna dahulu, saya boleh melakukan semua kerja ini berseorangan, namun selepas lumpuh separuh badan, saya terpaksa meminta bantuan orang lain khususnya adik saya, Mohamad Hazarul Nizam.
“Hal ini kerana pergerakan saya menjadi terbatas dan saya tidak boleh memusingkan badan seperti dahulu,” jelasnya.
Namun, memandangkan dia tidak begitu banyak menerima pelanggan, maka Mohamad Zulkarnain tidak perlu terburu-buru dalam menyiapkan kerja-kerjanya.
“Sejujurnya, di kawasan kampung saya ini, ramai penduduk yang mengusahakan bengkel kereta dan ini menjadikan saya kurang menerima pelanggan.
“Lazimnya pelanggan yang datang juga adalah daripada kalangan penduduk sekitar yang tahu bahawa saya dan adik lelaki pandai membaiki kenderaan,” katanya.

Biarpun kurang pelanggan, namun Mohamad Zulkarnain berkata, kelebihannya terletak pada lokasi bengkelnya yang terletak di hadapan rumah, menjadikan dia tetap mengambil tempahan biarpun pada musim perayaan.
“Berbeza dengan bengkel-bengkel lain yang mungkin tidak beroperasi semasa musim perayaan, saya pula akan tetap menerima pelanggan yang berdepan masalah kenderaan semasa hari raya.
“Hal ini kerana saya sentiasa berada di rumah dan akan melakukan kerja-kerja mekanik dari rumah sahaja,” katanya yang banyak menerima pelanggan semasa musim perayaan.
Mengakui adakalanya sukar untuk dia kekal positif setelah diuji, Mohamad Zulkarnain berkata, dia bagaimanapun menganggap perasaan sedih itu hanya sementara.
“Saya akui adakalanya saya berasa sedih dan berputus asa untuk terus hidup begini.
“Namun, saya menganggap itu sebagai mainan perasaan kerana maklumlah kita manusia, adakalanya kita berasa sedih dan adakalanya kita berasa gembira,” katanya yang gemar bermain gitar sekiranya tidak bekerja.
Kongsi Mohamad Zulkarnain lagi, dia amat terharu dengan sokongan dan perhatian yang diberikan oleh orang ramai yang tahu tentang kisah hidupnya.
“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang tahu tentang kisah saya.
“Saya juga amat berterima kasih kepada kedua-dua ibu dan bapa saya yang sentiasa memberikan saya sokongan dan dorongan untuk meneruskan hidup biarpun selepas ditimpa ujian,” katanya.
Mohamad Zulkarnain juga berharap agar satu hari nanti dia dapat mengumpul wang yang cukup untuk membuka sebuah bengkel kereta di sebelah rumahnya.
“Saya berharap agar satu hari nanti saya berpeluang membuka sebuah bengkel kereta di kawasan ini memandangkan buat masa ini, itulah satu-satunya kebolehan saya,” katanya.














