fbpx

Mahrez terima tawaran lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHREZ berpeluang untuk meneruskan kariernya ke Arab Saudi selepas menerima tawaran lumayan daripada Al Ahli. - AFP

JEDDAH – Bekas gergasi Asia, Al-Ahli enggan ketinggalan di belakang pencabar-pencabarnya dalam saingan Liga Pro Arab Saudi apabila dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Manchester City, Riyad Mahrez.

Menurut laporan ESPN, pasukan yang diberi gelaran The Royal itu telah menawarkan kontrak lumayan yang keseluruhannya bernilai €150 juta (RM744.02 juta) termasuk bonus kepada Mahrez.

Difahamkan, delegasi Al-Ahli termasuk presidennya, Waleed Muaath telah berada di London minggu ini untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain yang akan disambar kelab itu termasuk Mahrez.

Pemain sayap lincah Algeria itu mungkin akan mempertimbangkan tawaran tersebut selepas kecewa kurang minit permainan di bawah Pep Guardiola selain kontraknya bersama City juga berbaki dua tahun sahaja lagi.

Al-Ahli merasakan kehadiran Mahrez, 32, mampu memastikan mereka bersaing sengit dengan pasukan-pasukan seperti Al-Nassr dengan Cristiano Ronaldo dan Al-Ittihad yang baru sahaja membeli Karim Benzema daripada Real Madrid.

Malah, Al-Ittihad juga masih dalam rundingan untuk membeli seorang lagi pemain berprofil tinggi iaitu N’Golo Kante daripada Chelsea yang kini berdepan sedikit masalah terhadap rekod perubatannya.

Bagi tidak ketinggalan, Al-Ahli bersedia memberikan Mahrez €50 juta (RM248.01 juta) setahun termasuk bonus dengan kontrak selama dua tahun beserta pilihan melanjutkan perjanjian itu untuk musim ketiga.

Sebagai rekod, Al-Ahli akan kembali bersaing dalam Liga Pro Arab Saudi musim depan sebagai juara Divisyen Satu selepas jatuh ke saingan tersebut pada dua musim lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI