fbpx

PAU 2023: UMNO parti ‘cedera’, perlu dipulihkan segera – Khalid Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled berucap semasa sesi penggulungan Naib Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di WTCKL hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengibaratkan parti itu kini ‘tercedera’ dan ‘kesihatannya’ semakin terjejas.

Justeru kata beliau, parti keramat yang menjadi tunjang orang Melayu itu perlu dipulihkan segera demi mengelakkan ‘kecederaan’ itu lebih parah.

“Parti yang tercedera tidak boleh diparahkan dengan pecah-belah. Tidak perlu terus diporak-perandakan dengan perseteruan antara pelbagai kelompok dan puak.

“Ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO harus bermula dengan kesatuan dan perpaduan semasa kita. Kesinambungan perjuangan, azam dan kerja keras harus mengatasi segala hasad dan dengki, adu dan domba,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO tidak boleh dibiarkan semakin parah, malah akar umbi dan kepimpinan perlu berdamai serta bersatu.

“Biarlah selepas biduk berlalu, kiambang kembali bertaut. Ibarat berkelahi di hujung jalan, kita berbaik jua di pangkalnya.

“Marilah kita benar-benar kembali berdamai dan bersatu hati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI