fbpx

PAU 2023: Tapis dulu, pastikan bukan gunting dalam lipatan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja tertinggi (MKT) UMNO sentiasa bersikap terbuka bagi menerima kembali ahli-ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin namun perlu melihat terlebih dahulu adakah mereka selama ini ‘gunting dalam lipatan’.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini MKT UMNO sentiasa bersikap terbuka terhadap saranan untuk menerima kembali mereka semua sebagai ahli semula.

“Jika individu yang dipecat itu benar-benar merupakan orang parti, mereka tidak akan berkokok dan menghentam parti ini dari luar.

“Jika sayangkan parti, mereka harus akur dengan keputusan parti seperti yang pernah dialami oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam yang tidak pernah menikam parti dari luar meskipun beliau pernah dipecat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan beliau sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun sehingga kini masih dipandang sepi.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya hukuman penggantungan itu mahu dibuat pada tahun lepas, namun tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas.

Tajuddin turut mengakui masih setia terhadap parti dan berharap rayuan diterima agar beliau dapat kembali menjadi ahli parti keramat Melayu itu.

Sementara itu, dalam ucapan sama Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya bersetuju penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja serta pengguna.

Kerajaan juga jelas beliau bersetuju menubuhkan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas wanita dengan kerjasama antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia.

“Saya telah berbincang tentang isu perumahan anak muda, kerajaan luluskan rumah transit Madani di bawah Skim Perumahan Transit Madani di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI