fbpx

Mahkamah: Cederakan Shuhada, Hafidz waras, layak dibicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz keluar dari mahkamah selepas prosiding hari ini. Foto M. FIRDAUS M. JOHARI

Hulu Selangor – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, di sini hari ini diberitahu, pelakon Hafidz Roshdi disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri pada sebutan semula dan laporan psikiatri hari ini di hadapan Hakim Hakim Mohd. Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret.

“Pihak pendakwaan mengesahkan laporan perubatan (psikiatri) telah diterima dan tertuduh (Hafidz) disahkan waras dan kes boleh dibicarakan,” kata Asmaa’.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan tarikh lain bagi serahan dokumen.

Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Akberdin Abdul yang mewakili tertuduh kemudian memohon pihak pendakwaan memberikan salinan berhubung laporan pskiatri itu sebelum tarikh sebutan kes seterusnya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 29 Mac lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Selain pertuduhan itu, Hafidz turut berhadapan dengan kes di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, apabila 20 Jun ini ditetapkan bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerainya dan isteri.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI