fbpx

Lelaki pecah kedai di stesen minyak diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Polis memburu seorang lelaki yang memecah masuk sebuah premis stesen minyak dekat sini dan melarikan sejumlah wang tunai dan sekotak rokok, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pengurus stesen minyak itu berusia 30an membuat laporan polis mengenai kejadian itu semalam.

“Dalam laporan itu, pengurus tersebut menyatakan ketika tiba di premis itu pada pukul 8.30 pagi mendapati pintu utama kedai stesen minyak itu telah rosak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati wang tunai kira-kira RM2,500 serta sekotak rokok telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tegas beliau, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun jika turut melakukan kesalahan mencuri.

Beliau memaklumkan polis turut mengesan satu video berdurasi 1 minit 54 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok bernama Meknaa_Yamaa96 yang memaparkan kejadian tersebut, yang dilihat pada pukul 10.42 pagi ini.

Beliau menegaskan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Irsyadiman Allmui di talian 0111-7836233 untuk membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI